Sabtu, 11 April 2015 | 8:48am

Cabaran transformasi pengajian Islam

Pengajian Islam adalah ilmu teras penting bagi melahirkan modal insan seimbang dalam proses pembentukan tamadun negara. Meskipun dianggap suatu bidang agama, hakikatnya pengajian Islam adalah landasan penting bagi memastikan kelangsungan identiti dan generasi Bumiputera Islam dalam konteks sejarah dan tamadun moden Malaysia.

Sejarah membuktikan proses pembinaan tamadun Barat yang dibangunkan di atas runtuhan dan kejatuhan tamadun Islam, dibina berasaskan tiga teras ilmu penting iaitu pengajian sejarah, penggunaan bahasa dan khazanah kesusasteraan Eropah sebagai penghantar ilmu serta penghayatan hasil karya falsafah. Tiga teras itu seterusnya menjadi pemangkin dalam pengembangan ilmu sains dan penghasilan, penemuan serta inovasi teknologi baru di universiti terkemuka dunia seperti Harvard, Cambridge dan Oxford.

Barat menjadikan tiga teras berkenaan sebagai sumber pembinaan tamadun. Bahkan kegemilangan tamadun Barat sejak lebih satu abad lalu ditandai oleh kegigihan mereka mengumpul segenap kekuatan dalam tradisi ilmu sejarah, bahasa dan kesusasteraan serta falsafah. Menariknya, tiga bentuk ilmu itu turut terkandung dalam teras kegemilangan tamadun Islam iaitu al-Quran dan al-Sunah.

Lebih 10 abad lalu tamadun Islam berkembang menerusi institusi kenabian Rasulullah SAW, Khulafa'al-Rashidin, Dinasti Umayyah dan 'Abbasiyah serta empayar kerajaan 'Uthmaniyyah. Perjalanan sejarah dan pencapaian tamadun panjang itu, diwarisi umat Islam hari ini dalam adunan disiplin dan sumber turath (warisan) berbahasa Arab meliputi aspek syariah, usuludin, bahasa serta kesusasteraan Arab, sejarah dan tamadun Islam. Penyampaian semua ilmu pengajian Islam itu pada zaman moden, pastinya tidak dapat menafikan peranan besar Universiti al-Azhar, Mesir khususnya dalam mempengaruhi corak kurikulum pengajian di Asia Barat dan rantau Asia Tenggara.

Dipelopori sekolah pondok

Sebelum Malaysia merdeka, bidang pengajian Islam dipelopori lulusan sekolah pondok dan sekolah moden aliran Arab. Selaras dengan kemerdekaan negara, fungsi Raja-Raja Melayu dan Islam sebagai agama Persekutuan, Malaysia mula melahirkan graduan pengajian Islam dalam pengkhususan bahasa dan Kesusasteraan Arab, Syariah, dan Usuludin dari Universiti al-Azhar, Kolej Islam Malaya (KIM), Yayasan Pendidikan Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) dan Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA).

Kelahiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membolehkan Kolej Islam Malaya diserapkan dalam penubuhan UKM sebagai Fakulti Pengajian Islam pada 18 Mei 1970, manakala YPTIK ditransformasi kepada penubuhan Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Pada 1983 lahir pula Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menggerakkan islamisasi ilmu dengan perspektif baharu dan membuka ruang lebih luas kepada pelajar aliran agama khususnya dalam bidang undang-undang. KUSZA pula bergabung dalam penubuhan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Islam Malaysia (UIM) pula adalah dua inovasi terkini dalam bidang pengajian Islam.

Perkembangan ini menunjukkan pengajian Islam tersebar seiring dengan pembangunan pendidikan tinggi negara. Pengajian Islam dikembangkan kepada ilmu baharu berasaskan keuntungan seperti perbankan dan kewangan Islam serta pemakanan halal. Pengembangan juga meliputi cabaran umat Islam masa kini yang menuntut jawapan seperti isu akidah, ajaran sesat, pengganas, murtad, dakwah dan fatwa semasa. Polemik ini memberi cabaran besar kepada institusi pengajian tinggi Islam untuk memastikan graduan dilahirkan bukan hanya mampu menyelesaikan masalah umat tetapi mampu memenuhi kehendak pasaran industri dan majikan.

Perkembangan ini turut menghambat institusi pengajian tinggi Islam untuk menyesuaikan penawaran ijazah mengikut kehendak pasaran kerja semasa dengan memasukkan elemen rentas ilmu dalam bidang lain seperti sains, teknologi maklumat, kaunseling dan komunikasi.

Keadaan ini mampu menjadikan pengajian Islam mengalami kecairan dalam kurikulum turath pengajian Islam. Pemain industri di sektor awam dan swasta bukan hanya memerlukan graduan pengajian Islam yang memenuhi kehendak pasaran semasa, tetapi turut memerlukan graduan kompeten dan menguasai bidang turath serta mampu menyelesaikan masalah semasa masyarakat dengan merujuk kepada sumber klasik Islam berbahasa Arab.

Konsep perimbangan ini perlu terus menjadi neraca pertimbangan dalam menangani perubahan dalam kurikulum baharu pengajian Islam. Oleh itu, sumber klasik kitab berbahasa Arab ulama silam perlu sentiasa menjadi sandaran dan inspirasi pelajar pengajian Islam dalam mendepani kepelbagaian dan perubahan gaya pemikiran umat Islam kini. Pastinya al-Quran dan al-Sunah adalah rujukan tertinggi dan seterusnya karya agung ulama silam. Inilah teras penting yang perlu dikuasai jika umat Islam mahu kembali mencipta tamadun sebagaimana berjayanya Barat mengilhamkan tamadun dengan keaslian ilmu sejarah, bahasa dan kesusasteraan serta falsafah.

Berita Harian X