Khamis, 21 Mei 2015 | 8:07am

Rohingya ibarat 'duri dalam daging' ASEAN

RIBUAN pelarian Rohingya terkandas dalam bot di Laut Andaman. - Foto AFP
RIBUAN pelarian Rohingya terkandas dalam bot di Laut Andaman. - Foto AFP

MYANMAR dengan lantang menyatakan negara itu tidak akan hadir pada mesyuarat 29 Mei depan jika perkataan Rohingya tertera pada undangan mesyuarat anjuran Thailand itu.

Hal ini menggambarkan betapa negara pimpinan junta yang mula menerima demokrasi pada tahun 2011 itu, cuba mengelak permasalahan sebenar isu membabitkan etnik Rohingya.

Myanmar juga mengatakan ia bukan punca kepada krisis kemanusiaan yang tercetus di Laut Andaman dan Selat Melaka ketika ini, yang mana ribuan pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh terkandas dalam bot di tengah laut menunggu maut.

Masalah penyeludupan, pemerdagangan manusia

Ia menyatakan isu itu adalah masalah penyeludupan dan pemerdagangan manusia yang gagal dan cuba dipalitkan kepada Myanmar.

"Kita tidak akan terima dakwaan beberapa pihak bahawa Myanmar adalah punca masalah," demikian kata Mejar Zaw Htay yang juga Pengarah di Pejabat Presiden Myanmar, Thein Sein.

Dipetik Al Jazeera, wakil pejabat Presiden Myanmar itu berkata, pemimpin negaranya, akan menimbang untuk hadir atau tidak, bergantung kepada isu dibincangkan.

Situasi ini tentunya merimaskan pelbagai pihak khususnya Thailand, Malaysia dan Indonesia yang amat terkesan dengan kebanjiran pelarian yang berasal dari Rakhine, wilayah paling miskin di barat Myanmar.

Malah negara jiran Myanmar yang juga negara anggota ASEAN, kini berdepan tekanan dari dalam dan luar negara, tentang apa yang perlu dilakukan selepas lebih 1,100 pelarian etnik Rohingya dan pendatang Bangladesh mendarat di Pulau Langkawi, Malaysia pada 11 Mei lalu.

Ratusan lagi pelarian yang bersesak-sesak seperti sardin dalam bot yang dipercayai belayar dari Myanmar beberapa bulan sebelum itu, diselamatkan nelayan Indonesia di Aceh apabila bot terbabit tenggelam.

Ribuan pelarian menaiki bot

Lebih membimbangkan apabila ada laporan menyatakan ribuan lagi pelarian terbabit dalam perjalanan ke sini dengan menaiki bot dan dijangka tiba pada bila-bila masa.

Persoalannya, jika Myanmar bukan punca masalahnya, maka dari manakah ribuan pelarian etnik Rohingya ini datang dan kenapa mereka mahu keluar dari negara itu?

Aktivis Rohingya di Malaysia, Ghiyathudeen Maulana Abd Salam, berkata Myanmar tidak perlu takut untuk hadir ke mesyuarat itu jika mereka berada di pihak benar.

"Mereka patut hadir tanpa syarat," katanya mengulas isu kebanjiran pelarian etnik Rohingya dan imigran Bangladesh yang sebelum ini dilaporkan 'hanyut' di lautan sehingga mencetus krisis kemanusiaan dan menjadi perhatian dunia.

Isu ini memuncak pada 1 Mei lalu apabila pihak berkuasa Thailand, yang sebelum ini didakwa menutup sebelah mata dalam masalah penyeludupan dan pemerdagangan manusia rentas sempadan, meningkatkan penguatkuasaannya susulan penemuan kubur pelarian dalam hutan di sempadan Thailand-Malaysia.

Tindakan itu menyebabkan penyeludup bertindak meninggalkan bot mereka yang penuh dengan mangsa pemerdagangan manusia khususnya etnik Rohingya dari Myanmar, tanpa sebarang bekalan makanan dan minuman, selain merosakkan enjin bot terbabit.

 ETNIK Rohingya tinggal di kem pelarian pinggir Sittwe, Rakhine. - Foto AFP
ETNIK Rohingya tinggal di kem pelarian pinggir Sittwe, Rakhine. - Foto AFP

Imigran lari daripada penindasan, kemiskinan

New York Times dalam laporannya sebelum ini menyebut anggaran antara 6,000 hingga 20,000 imigran, yang lari daripada penindasan di Myanmar dan kemiskinan di Bangladesh, berada di laut dan menuju ke negara berdekatan.

Kita akui pendatang dari Bangladesh yang turut sama berada dalam bot itu adalah imigran ekonomi dan bukan dari Myanmar, tapi bagaimana pula dengan etnik Rohingya yang sememangnya berasal dari wilayah barat Myanmar?

Umumnya, anggota ASEAN menerima persoalan etnik Rohingya yang tidak diiktiraf di Myanmar adalah masalah dalaman negara itu.

Undang-Undang Kerakyatan 1982 tidak mengiktiraf Rohingya sebagai satu daripada lebih 130 etnik di negara majoriti penganut Buddha itu.

Ribuan etnik Rohingya yang dikatakan mendiami wilayah Rakhine (Arakan) sejak kurun ke-8, keluar menyelamatkan diri ke negara jiran seawal 1970-an, sekali gus membawa kesan langsung kepada negara terbabit.

Di Malaysia sahaja lebih 45,000 etnik Rohingya mendaftar dengan UNHCR, malah pelarian dan pendatang dari Myanmar mewakili 92.7 peratus daripada 152,570 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu sehingga Februari lalu.

Apa yang pasti, jika Myanmar berkeras tidak hadir pada mesyuarat 29 Mei depan yang digerakkan Thailand bagi membincangkan isu pendatang di Asia Tenggara itu, maka ia benar-benar menguji sejauh mana keikhlasan Myanmar selaku anggota ASEAN.

Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tidak mempunyai pilihan selain mengetengahkan isu yang menjadi 'duri dalam daging' ASEAN itu.

Apatah lagi apabila terdapat laporan media mengatakan jumlah pelarian Myanmar, termasuk Rohingya, sebenarnya jauh lebih tinggi daripada angka rasmi diumumkan.

Malaysia melalui Persidangan Dewan Rakyat pada Mac lalu menyatakan, tidak akan menandatangani Konvensyen Geneva Mengenai Pelarian 1951 kerana tidak mahu negara ini menjadi negara transit pelarian sekalipun menerima golongan ini atas dasar kemanusiaan.

"Negara kamu sudah lakukan terbaik," kata jurucakap UNHCR, Adrian Edwards pada BH di Kuwait sebelum ini merujuk kepada isu pelarian Myanmar yang diterima di Malaysia, sekalipun tidak menandatangani konvensyen mengenai pelarian.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Malaysia mungkin memanggil mesyuarat khas ASEAN membincangkan isu itu dengan negara terbabit.

PELARIAN Rohingya di Malaysia menunjukkan kad pelarian UNHCR. - Foto Saifullizan Tamadi
PELARIAN Rohingya di Malaysia menunjukkan kad pelarian UNHCR. - Foto Saifullizan Tamadi

Myanmar tak wajar jadikan Rohingya sebagai alasan

Jika itu terjadi, tentunya Myanmar tidak seharusnya menjadikan perkataan Rohingya sebagai alasan dan hadir atas semangat ASEAN yang menjadi satu komuniti bermula tahun ini.

Presiden Thein Sein juga tentunya bersetuju bahawa Myanmar dalam perjalanan demokrasinya yang masih muda bergerak mengikut arus masyarakat dunia dan mampu menyelesaikan isu duri dalam daging ASEAN yang semakin membarah itu.

Seperti kata Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama, ketika mengunjungi Myanmar pada tahun lalu, 'diskriminasi terhadap (etnik) Rohingya atau mana-mana minoriti lain, pada fikiran saya, tidak menggambarkan negara Burma (Myanmar) bagi jangka masa panjang'.

Ketika ini, hampir 140,000 etnik Rohingya ditempatkan di kem-kem pelarian di pinggir Sittwe, ibu kota Rakhine, selepas tercetusnya perbalahan etnik dan agama pada penghujung 2012 yang turut mengorbankan lebih 240 nyawa.

Berita Harian X