Sabtu, 11 Julai 2015 | 9:26am

Melancong, cara orang bandar sambut Hari Raya

AMALAN tradisi di kampung apabila tiba waktu Syawal, memasak lemang, ketupat dan juga dodol. - Gambar hiasan
AMALAN tradisi di kampung apabila tiba waktu Syawal, memasak lemang, ketupat dan juga dodol. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Aidilfitri bagi kebanyakan orang sinonim dengan kampung halaman, ketupat dan rendang namun bagi mereka yang berasal dari bandar seperti Kuala Lumpur, trend melancong menjadi agenda utama pada musim cuti itu.

Ada antara mereka memilih melancong ke luar negara dan ada juga bercuti di dalam negara saja seperti Genting Highlands atau Cameron Highlands.

Bagi Farah, 30-an (bukan nama sebenar), aktiviti 'terbang' keluar dari 'kota batu' seperti Kuala Lumpur telah lama menjadi pilihannya dan keluarga kerana hari raya bagaikan tiada erti seperti mana mereka yang tinggal di kampung.

Dia yang dilahirkan di Kepong dan begitu juga dengan ibu bapanya, berkata mereka biasanya akan melancong untuk mengelak kesunyian, walaupun ia kelihatan pelik bagi sesetengah orang.

"Saya tiada kampung untuk dituju. Saya kadangkala cemburu dengan orang kampung yang boleh membakar lemang dan mengacau dodol beramai-ramai seperti mana yang disiarkan di dalam televisyen," katanya.

"Di Kuala Lumpur, takkan ada semua tu. Saya tidak mempunyai pengalaman sepanjang hidup saya beraya seperti orang kampung yang kelihatan sangat meriah dengan membakar lemang, masak ketupat dan mengacau dodol. Di sini, apabila tiba hari raya, jalan raya sampai peringkat boleh tidur di atasnya, sunyi sangat.

"Kalau keluar rumah pun yang kelihatan kebanyakannya warga negara Indonesia dan Bangladesh.

"Aktiviti yang ada cuma pada waktu pagi iaitu ke masjid untuk sembahyang raya dan selepas itu ada saudara yang datang. Biasanya pada raya kedua, pintu rumah sudah tertutup. Tahun ini kami melancong ke luar negara. Mak ayah pun sudah tua. Biarlah mereka berehat," kata Farah.

Selain itu, Sarah Zulkifli, 28, yang lahir dan menetap di Ampang turut berkongsi pengalaman yang sama seperti Farah dan sejak kecil dia tidak mempunyai aktiviti kunjung-mengunjung dan memasak bersama jiran tetangga seperti mana masyarakat di kampung.

Katanya, sanak saudara akan berkumpul pada pagi raya saja dan selepas itu mereka akan beramai-ramai ke pusat karaoke ataupun membeli-belah berikutan keadaan Kuala Lumpur yang lengang pada waktu itu.

"Melancong juga menjadi agenda pada hari raya kerana 'kampung' kami hanyalah Kuala Lumpur. Daripada sunyi sahaja tanpa sebarang aktiviti, lebih baik melancong walau tidak kedengaran suara takbir hari raya," katanya.

Tambah Sarah, sejak berkahwin tiga tahun lalu barulah dia merasai kelainan meraikan hari raya walaupun suaminya tinggal di kawasan taman perumahan di Johor Baharu.

"Seronok sebenarnya apabila dapat kunjung-mengunjung hingga raya ketiga. Berkumpul di rumah dengan gelak ketawa sambil diperkenal kepada keluarga yang jarang-jarang berjumpa.

"Walaupun tidak dapat merasai keseronokan memasak lemang, sekurang-kurangnya ada aura hari raya berbanding keadaan di Kuala Lumpur. Ia amat penting bagi kenang-kenangan dan pembesaran anak-anak menghayati indahnya hari raya," katanya.

Sementara itu Razali Dahri, 23, yang tinggal di Sentul berkata keadaan Kuala Lumpur yang senyap sunyi ekoran ramai yang pulang ke kampung menjadikan hari raya seolah-olah hanya untuk mereka yang berada di kampung.

Katanya, makanan yang dihidang di rumah juga biasa-biasa saja malah sejak dulu, dia dan adik-beradik hanya menonton televisyen selepas pulang daripada solat hari raya.

"Malam raya atau malam raya pertama kami biasanya memilih menonton wayang hingga lewat malam. Pada hari raya kedua, kami akan pergi bercuti di mana-mana saja dan tahun ini akan ke Janda Baik selama dua hari. Berehat saja bersama ibu bapa kerana kakak dan abang memilih untuk pulang ke kampung mentua masing-masing. Di sana lebih meriah berbanding di sini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X