Jumaat, 4 Disember 2015 | 11:55am

ADVERTORIAL: FAMA berjaya ubah taraf hidup petani

AHMAD Shabery bersama pegawai kanan FAMA meninjau persiapan Majlis Sambutan 50 tahun FAMA di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang bermula hari ini hingga Ahad. - Foto Aizuddin Saad.
AHMAD Shabery bersama pegawai kanan FAMA meninjau persiapan Majlis Sambutan 50 tahun FAMA di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang bermula hari ini hingga Ahad. - Foto Aizuddin Saad.

KUALA LUMPUR: Sepanjang 50 tahun berbakti kepada negara, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya membantu petani, penternak dan nelayan memasarkan hasil keringat mereka, sekali gus bebas daripada garis kemiskinan.

Agensi yang ditubuhkan pada 30 September 1965 itu banyak berjasa kepada negara dalam membantu usahawan jualan Industri Asas Tani (IAT), pemasar dan pengguna dalam rantaian bekalan agromakanan.

Kewujudannya membantu meningkatkan taraf hidup petani, penternak dan nelayan menerusi sistem pemasaran cekap dan berkesan, berbanding penggunaan 'padi kunca' (orang tengah) yang menindas mereka.

Petani dibebani hutang

Pengerusi FAMA, Tan Sri Badruddin Amiruldin, berkata lima dekad lalu, petani hidup daif serta miskin kerana bergantung kepada orang tengah menyebabkan mereka dibebani hutang kerana sering ditipu berikutan ketiadaan sistem pemasaran sistematik.

Katanya, penubuhan FAMA oleh bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein bagi membangunkan ekonomi berjaya membebaskan masyarakat Melayu daripada kemiskinan dan penindasan orang tengah menerusi sistem pemasaran sistematik.

SEORANG petani wanita bersama pegawai FAMA, melihat hasil pisang di ladang Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kampung Bunian Chenor. - Foto hiasan
SEORANG petani wanita bersama pegawai FAMA, melihat hasil pisang di ladang Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Kampung Bunian Chenor. - Foto hiasan

Jual ikut harga pasaran

Selain itu, katanya, penubuhan FAMA membolehkan petani memasarkan hasil usaha mereka mengikut harga pasaran dan harga setimpal ketika berlaku lambakan, sekali gus membolehkan ekonomi mereka sentiasa stabil.

"Ketika menyambut Jubli Emas tahun ini, pencapaian FAMA amat cemerlang khususnya dalam melahirkan agensi baharu bagi memastikan kumpulan sasar mendapat perkhidmatan lebih cekap dan berkesan," katanya kepada BH di sini semalam.

Sambutan Jubli Emas atau 50 Tahun FAMA akan diadakan di Dataran Merdeka di sini, pada Jumaat hingga Ahad ini dan disempurnakan perasmiannya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Sabtu ini.

Agensi baharu dilahirkan FAMA termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), Majuternak, Lembaga Koko dan Lembaga Lada Hitam.

Agensi itu juga memainkan fungsi penting dalam membantu pelaksanaan projek peringkat nasional seperti Pelan Tindakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dan projek Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di peringkat negeri dan daerah.

Badruddin berkata, FAMA turut mendidik usahawan tani agar dapat memahami aliran pasaran semasa, berdaya saing dalam menyampaikan maklumat pasaran dan memahami amalan pemasaran bagi membolehkan mereka memperoleh pendapatan setimpal dengan pelaburan.

ANTARA produk karipap dan popia mini serunding hasil bimbingan FAMA keluaran pengusaha industri kecil dan sederhana. - Foto hiasan
ANTARA produk karipap dan popia mini serunding hasil bimbingan FAMA keluaran pengusaha industri kecil dan sederhana. - Foto hiasan

Jana inovasi pemasaran

Seterusnya, katanya, FAMA menjana inovasi pemasaran yang kreatif bagi menyelesaikan masalah pemasaran oleh petani dan halangan kebolehcapaian serta kemampuan pengguna.

"Negara kita bergantung kepada pengimportan hasil makanan bernilai RM17 bilion, yang sekali gus petani, penternak dan nelayan mempunyai peluang pemasaran terbuka luas dalam mengurangkan kadar pengimportan berkenaan. FAMA sentiasa membantu golongan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Badruddin berkata sempena sambutan berkenaan, Perdana Menteri akan melancarkan laman web agrobazar.com.my, pelancaran francais Kopi Satu dan program pinjaman mudah kepada graduan bagi membolehkan mereka menceburi bidang keusahawanan.

Selain itu, katanya, Najib yang juga Menteri Kewangan akan turut menyampaikan Anugerah Perdana Menteri kepada usahawan FAMA terbaik dan 12 anugerah lain.

"Usahawan FAMA akan mempamerkan lebih 1,000 produk sempena sambutan berkenaan. Pengunjung bukan saja datang untuk membeli-belah, malah mempelajari ilmu baharu berhubung kaedah pemasaran FAMA yang mereka boleh manfaatkan," katanya.

Berita Harian X