X
Selasa, 2 Februari 2016 | 7:51am

Membina kapasiti dalam kelembapan ekonomi

KEJATUHAN harga minyak mentah dunia beri kesan kelembapan ekonomi negara. - Foto hiasan
KEJATUHAN harga minyak mentah dunia beri kesan kelembapan ekonomi negara. - Foto hiasan

KEBANYAKAN ekonomi dunia sedang melalui episod kelembapan. Punca utama adalah kerana kejatuhan harga komoditi, termasuk minyak petroleum mentah dan komoditi pertanian utama lain dunia.

Kejatuhan harga komoditi menyumbang kepada kelembapan ekonomi negara sedang membangun. Ini seterusnya memberi kesan kepada aliran dagangan dan modal dunia. Situasi ini melambangkan tahap kesalinghubungan antara ekonomi dunia pada masa kini.

Malaysia tidak terkecuali daripada menghadapi keadaan kelembapan ekonomi. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) benar untuk tahun 2015 pada kadar lebih perlahan, iaitu pada 4.9 peratus berbanding 6.0 peratus pada tahun 2014.

Untuk tahun ini, MIER mengunjurkan pertumbuhan KDNK benar pada kadar di antara 4.5 - 5.0 peratus setahun. Malah, Pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri minggu lalu telah membuat semakan ke bawah pertumbuhan ekonomi untuk tahun ini sebanyak 0.5 mata peratusan daripada unjuran awal kepada 4.0 - 4.5 peratus.

Pertumbuhan ekonomi untuk 2015 dan 2016 adalah dipacu oleh permintaan domestik kerana kelembapan permintaan global disebabkan oleh kelembapan ekonomi rakan dagang utama negara.

Penyumbang utama kepada permintaan domestik adalah daripada penggunaan swasta. Sumbangan pelaburan swasta terhadap permintaan domestik bukan sahaja lebih kecil, bahkan ia merekodkan pertumbuhan yang perlahan.

Pengubahsuaian Bajet 2016 menggariskan beberapa langkah untuk menggalakkan penggunaan swasta. Ini termasuk, pemotongan caruman KWSP sebanyak 3.0 peratus dan pelepasan cukai pendapatan untuk tahun lepas sebanyak RM2,000 bagi individu yang berpendapatan bulanan tidak melebihi RM8,000. Peningkatan pendapatan boleh guna pengguna dapat direalisasikan serta merta, justeru penggunaan swasta untuk tahun ini dijangka meningkat.

Ramai yang bimbang dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan, apatah lagi pertumbuhan negatif. Namun, ia bukan sesuatu yang amat serius, sebab turun-naik sesebuah ekonomi adalah bersifat jangka pendek, kecuali, sesebuah ekonomi itu terdedah kepada kemelesetan yang berpanjangan.

Malah, sesebuah ekonomi yang matang akan mengambil kesempatan daripada kelembapan ekonomi untuk meningkatkan kecekapan sistem sama ada dengan pembaikan proses atau pun reformasi keseluruhan sistem, jika perlu.

Suatu perkara yang perlu difahami, bahawa jauh lebih penting adalah pertumbuhan kapasiti sesebuah ekonomi, atau juga disebut pertumbuhan dari sudut penawaran.

Sesebuah ekonomi perlu meningkatkan kebolehan untuk membuat pengeluaran supaya menjamin pertumbuhan berpanjangan. Tanpa peningkatan kapasiti, permintaan agregat tidak dapat ditingkatkan tanpa peningkatan paras harga atau inflasi yang berterusan.

Pengurusan ekonomi dari sudut penawaran untuk meningkatkan kapasiti ini perlu dilakukan sepanjang masa. Walaupun di dalam keadaan kemelesetan ekonomi, dasar tertentu menumpukan kepada peningkatan kapasiti perlu dilakukan oleh kerajaan.

Malah, di dalam Pengubahsuaian Bajet 2016, disamping menggariskan beberapa pendekatan untuk penjimatan perbelanjaan kerajaan bagi menangani masalah pengurangan hasil kerajaan kerana penurunan harga minyak, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa inisiatif yang menjurus kepada peningkatan kapasiti ekonomi untuk jangka panjang.

Ia termasuk inisiatif berkaitan usaha untuk meningkatkan tahap pendidikan rakyat serta usaha peningkatan produktiviti lain. Jika kita lihat kembali kepada situasi semasa yang mana penyumbang utama kepada pertumbuhan permintaan domestik, yang seterusnya menyumbangkan kepada pertumbuhan ekonomi, adalah penggunaan swasta.

Sumbangan pelaburan swasta adalah kecil. Kesan langsung adalah keadaan ini akan menyumbang kepada peningkatan paras harga, atau kadar inflasi. Ini kerana kapasiti pengeluaran tidak ditingkatkan setimpal dengan peningkatan permintaan.

Pertumbuhan pelaburan swasta adalah penting untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran masa hadapan. Oleh itu, dasar kerajaan perlu untuk menggalakkan peningkatan pelaburan swasta termasuk semasa pertumbuhan ekonomi yang perlahan atau meleset.

Dalam pada itu dasar kerajaan yang lain untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, termasuk pembinaan infrastruktur, perlu diteruskan. Dasar sebegini lebih bersifat jangka panjang. Kesannya cuma dapat dinikmati beberapa tahun kemudian. Jika ini berlaku, maka kelembapan ekonomi semasa tidak sangat perlu dikhuatiri.

Sementara itu, beberapa cabaran untuk meningkatkan pelaburan swasta di dalam ekonomi dikenal pasti. Antaranya, peningkatan saingan global, kekurangan kebolehan berinovasi dan kebolehan mengikuti kecanggihan perniagaan, kualiti pendidikan yang tidak mencukupi, kekurangan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta produktiviti buruh dan lain-lain faktor yang rendah.

Cabaran ini akan lebih dirasai apabila negara terdedah kepada pasaran bebas, seperti melalui Perkongsian Trans-pasifik (TPP). Justeru, pengajaran yang perlu diambil adalah menjadi keutamaan untuk meningkatkan kebolehan pengeluar domestik untuk bersaing secara mutlak di peringkat global.

Dalam kata lain, peningkatan kebolehan pengeluaran adalah adalah syarat perlu serta mencukupi untuk pertumbuhan kapasiti ekonomi dan seterusnya menjamin pertumbuhan ekonomi jangka panjang. Jika tidak, mereka tidak mampu bersaing termasuk di dalam pasaran domestik kerana keterbukaan ekonomi.

Bagaimana pula dengan peranan individu untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran? Intipati kejayaan sebarang inisiatif kerajaan untuk menggalakkan peningkatan kapasiti pengeluaran sebenarnya adalah terletak di tangan individu.

Setiap individu sama ada pengeluar mahu pun isi rumah perlu meningkatkan produktiviti mereka. Segala faktor pengeluaran, termasuk buruh atau tenaga kerja dan modal perlu digunakan dengan ceakap.

Dari sudut tenaga kerja, penerapan ilmu dan kemahiran bukan sahaja tertumpu kepada peringkat pendidikan formal sebelum memasuki alam pekerjaan. Setiap individu di dalam pasaran buruh perlu berusaha untuk meningkatkan produktiviti mereka, antara lain melalui pendidikan sepanjang hayat dan latihan sambil kerja.

Setiap individu di dalam pasaran buruh juga perlu sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran supaya mereka sentiasa relevan di dalam pasaran dan tumbuh selari dengan keperluan semasa.

Usaha ini perlu berterusan tanpa mengira keadaan ekonomi semasa. Malah, ia perlu diterapkan ke dalam setiap tenaga kerja di dalam ekonomi sehingga mampu membina suatu budaya penerapan ilmu sepanjang hayat.

Pengubahsuaian Bajet 2016 turut memperuntukkan sumbangan 30 peratus daripada levi HRDF untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran pekerja, termasuk pekerja yang diberhentikan. Ini adalah inisiatif baik dan perlu direbut oleh pekerja.

Penulis adalah Fello Penyelidik Kanan, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER)

Berita Harian X