Khamis, 26 Mei 2016 | 6:00am

Gaji minimum bukan punca gulung tikar

GAJI minimum.
GAJI minimum.

POLEMIK mengenai isu pelaksanaan gaji minimum masih menjadi topik utama di negara kita. Meskipun pelaksanaannya sudah masuk penggal kedua dan tahun keempat, kewajaran skim ini masih diperdebatkan.

Sempena sambutan Hari Pekerja 2016, 1 Mei lalu, susulan pengumuman dalam Bajet 2016, kerajaan secara rasmi mengumumkan tarikh pelaksanaan gaji minimum yang disemak semula.

Perintah Gaji Minimum 2016 akan berkuat kuasa pada 1 Julai ini. Perintah ini meliputi semua majikan tanpa mengira bilangan pekerja. Walaupun Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem memberi jaminan bahawa pelaksanaan semakan ini mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk majikan dan pekerja, perintah terbaru mendapat respons tidak menggembirakan daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

MEF berharap kerajaan menangguhkan pelaksanaan skim ini. Badan majikan ini mendakwa dasar ini akan memberi kesan ke atas 30,000 pekerja, terutama pada peringkat bawahan yang bakal berdepan tindakan pemberhentian kerja sebelum Julai ini. MEF juga mendakwa 60,000 pekerja dianggarkan akan diberhentikan sepanjang 2016. MEF mendakwa pekerja yang berisiko diberhentikan kerja membabitkan pelbagai sektor, terutama minyak dan gas, perbankan dan kewangan, insurans serta peruncitan.

Tiada pemberhentian pekerja

Sebenarnya MEF silap. Tiada pemberhentian pekerja di sektor perbankan, sebaliknya hanya membabitkan skim pemisahan secara sukarela.

Pelaksanaan gaji minimum mulai 1 Januari 2013 menyaksikan Malaysia menyertai 150 negara lain dalam memperkenalkan dasar ini.

Kementerian Sumber Manusia menjelaskan bahawa kerajaan telah meneliti semua syor yang dikemukakan oleh Majlis Perundingan Gaji Negara dan mengambil pendekatan seimbang serta mempertimbang kepentingan kedua-dua pihak, iaitu majikan dan pekerja.

Seperti disebutkan oleh Riot, kadar gaji minimum terbaru ini diyakini akan mampu melonjakkan pendapatan diperoleh pekerja, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara dalam mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Pendirian kesatuan sekerja ialah kadar gaji minimum seharusnya tidak kurang daripada RM1,200. Itu yang diusahakan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), di mana Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) adalah antara anggota gabungannya.

Kerajaan telah pun menetapkan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam kepada RM1,200 sebulan di mana dasar ini memanfaatkan hampir 60,000 orang penjawat awam. Bagi menjaga kebajikan bekas pekerja, kerajaan menetapkan kadar pencen minimum sebanyak RM950 sebulan, membabitkan hampir 50,000 pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan.

Mengambil kira senario semasa, negara memerlukan majikan yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja supaya mereka juga akan menikmati kehidupan lebih baik.

Kebajikan dan kepentingan pekerja hanya boleh dipelihara sekiranya semua tiga pihak memainkan peranan seimbang.

Atas dasar ini, NUBE memilih 'Gandingan Tiga Pihak Bagi Kehidupan Lebih Baik' sebagai tema sambutan Hari Pekerja 2016 baru-baru ini. Pekerja khususnya rakyat tempatan harus diberi keutamaan dengan ditawarkan satu tahap gaji minimum yang munasabah. Majikan harus menyediakan gaji minimum tidak kurang daripada RM1,000 sebulan. Gaji minimum sama sekali tidak akan menyebabkan bisnes bakal gulung tikar. Tidak! Kesatuan berpandangan tidak mungkin ada syarikat yang akan ditutup.

Ada juga syarikat sanggup menyediakan tempat tinggal dan kemudahan pengangkutan sebagai insentif tambahan kepada gaji bulanan dalam menggaji pekerja asing. Bermakna, ada majikan yang mempunyai kapasiti untuk berbuat demikian. Aspek ini tidak termasuk bayaran levi penggajian pekerja asing.

Malah, kini ada pekerja asing turut menguasai sektor bukan 3D (kotor, bahaya dan sukar). Justeru, 'penyalahgunaan' kemudahan penggajian tenaga kerja asing oleh sesetengah majikan yang tidak bertanggungjawab sebenarnya menjejaskan ruang upah yang adil bagi pekerja tempatan. Situasi ini perlu diakhiri. Tindakan tegas perlu diambil bagi membersihkan sektor bukan 3D daripada dikuasai tenaga kerja asing.

Terima dengan hati terbuka

Pendek kata, menjadi harapan kesatuan khususnya pekerja, pihak majikan akan menerima skim terbaru gaji minimum dengan hati terbuka dan seterusnya menaikkannya sehingga ke paras RM1,200 sebulan.

Pada 2012, kerajaan mengumumkan Malaysia akan melaksanakan gaji minimum pada kadar RM900 di Semenanjung, manakala Sabah dan Sarawak pula RM800 sebulan.

Ketika itu dijangkakan bahawa dasar ini akan dimanfaatkan kira-kira lima juta pekerja. Kini ia disemak semula iaitu RM1,000 sebulan atau RM4.81 sejam bagi Semenanjung dan RM920 sebulan atau RM4.42 sejam bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kita tidak boleh mengatakan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi jika pekerja masih berada dalam lingkungan gaji yang kecil sehingga ada yang melakukan dua kerja untuk menampung kos hidup.

Kerajaan perlu bertegas dalam melaksanakan transformasi pendapatan dan upah. Debat perlu atau tidak gaji minimum wajar dihentikan. Sebaliknya, kini masa untuk bergerak ke arah paradigma baharu sistem upah dan gaji.

Berita Harian X