Khamis, 6 Oktober 2016 | 6:18pm

Keunikan batu kapur prasejarah

APABILA memandu dari Kuala Lumpur menuju bandar Ipoh di Perak, pasti kita akan melewati pekan kecil Tambun dan acap kali jugalah anda akan beranggapan, hendak menikmati keenakan limau Bali, singgah saja di tepi jalan banyak gerai yang menjual buah-buahan berkenaan.

Sebenarnya ramai yang terlepas pandang mengenai keunikan Tambun, selain dikenali sebagai kawasan bekas lombong bijih timah dan dikelilingi hutan dan bukit batu kapur berusia ratusan juta tahun, pekan kecil ini juga semakin dikenali sebagai destinasi perdagangan serta pelancongan yang pesat membangun di negeri Perak.

Lebih menarik, berdasarkan fakta sejarah, hutan dan bukit batu kapur sekitar Tambun dipercayai pernah didiami reptilia bersaiz gergasi atau dinosaur yang hidup pada zaman prasejarah.

Timbunan bijih timah

Mendapat jolokan Tujuh Keajaiban Tambun daripada penduduk setempat gara-gara hasil semula jadi, sejarah silam dan mitos.

Tujuh perkara 'ajaib' mengenai Tambun termasuklah sumber mata air panas, kegagahan pahlawan Gangga Nagara kerajaan Melayu-Hindu, Gua Meditasi, bongkahan atau bonjolan batu kapur yang unik dikenali sebagai The Needle of Tambun, Tasik Boga, Gua Datok dan terowong batu kapur sepanjang enam batu atau lebih dikenali sebagai 6th Mile Tunnel. Justeru, banyak destinasi menarik yang harus diterokai mengenai Tambun.

Menurut cerita orang lama, Tambun diteroka pada tahun 1885 oleh Tok Panjang Osman atau lebih dikenali sebagai Tok Norman. Nama Tambun berasal daripada panggilan Orang Asli yang merujuk kepada tempat longgokan atau timbunan (disebut tambunan) bijih timah.

Hari ini hutan atau bukit batu kapur sekitar Tambun yang kebanyakannya masih berstatus 'dara' dibangunkan untuk tujuan pelancongan, lalu menggamit kehadiran pengunjung tempatan mahupun antarabangsa, sekali gus mengubah persepsi sesetengah pihak yang beranggapan Tambun sebagai pekan koboi.

PEMANDUAN Nissan Teana 2.5XV dari Kuala Lumpur ke Ipoh begitu selesa kerana reka bentuk tempat duduk berinspirasikan sifar graviti. - Foto Zunnur Al-Shafiq
PEMANDUAN Nissan Teana 2.5XV dari Kuala Lumpur ke Ipoh begitu selesa kerana reka bentuk tempat duduk berinspirasikan sifar graviti. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Keselesaan memandu Nissan Teana 2.5XV

Penulis bersama jurugambar berkunjung ke Tambun, barubaru ini menerusi program jelajah Ipoh bersama Nissan Teana 2.5XV serba baharu generasi ketiga atau sedan segmen D yang menampilkan slogan, pemanduan hebat atau drive to greatness.

Bersesuaian dengan slogannya, keletihan memandu tidak dirasai kerana reka bentuk tempat duduk berinspirasikan kepada sifar graviti yang membantu mengurangkan beban pada otot dan tulang belakang, selain melancarkan perjalanan darah, sekali gus mengurangkan rasa letih apabila memandu dalam tempoh lama.

Tambahan pula kereta ini juga mesra pemandu apabila segala-galanya hanya di hujung jari kerana sistem elektroniknya membabitkan audio, navigator terletak pada sterengnya.

Ruang tempat duduk, sama ada di hadapan atau belakang sangat luas, sekaligus memberikan keselesaan maksimum kepada penumpangnya.

Keindahan alam dikekalkan

Selepas memandu selama dua jam, penulis tiba di destinasi pertama iaitu pusat peranginan mewah berkonsepkan kondominium-hotel atau kondotel, Best Western Premier The Haven, Ipoh. Ia dikelilingi hutan dan bukit batu kapur, selain sebuah tasik semula jadi, dibangunkan tanpa menjejaskan sedikit pun keindahan alam flora dan fauna.

Kondotel menghadap bonjolan batu kapur dan tasik yang dinamakan The Haven, menawarkan suasana pagi dan pemandangan awal senja yang amat menakjubkan! Bersesuaian dengan namanya, apabila bersantai di tebing tasik sambil menikmati pemandangan bongkah batu kapur The Haven yang berwarna-warni pada waktu senja, penulis berasakan seolah-olah berada di alam fantasi, keindahannya seperti sebuah lukisan yang cantik!

Hutan usia jutaan tahun

Pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), The Haven Resort Hotel, Peter Chan berkata, beliau tertarik membeli tanah, hutan dan bukit batu kapur di kawasan seluas 7.86 hektar kerana nilai sejarah dan alam semula jadi yang berusia ratusan juta tahun.

PANORAMA bonjolan batu kapur The Haven boleh dinikmati terus dari balkoni kondotel. - Foto Zunnur Al-Shafiq
PANORAMA bonjolan batu kapur The Haven boleh dinikmati terus dari balkoni kondotel. - Foto Zunnur Al-Shafiq

Batu kapur The Haven

Tambahnya, tapak pembinaan kondotel sedikit pun tidak memusnahkan hutan dan bukit batu kapur kerana ia dibangunkan di atas bekas kebun buah-buahan.

"Kawasan ini dinamakan hutan dan bukit batu kapur The Haven. Saya mahu pelancong yang berkunjung berpeluang menikmati keindahan alam semula jadi di depan balkoni mereka! Hutan dan bukit batu kapur berusia ratusan juta tahun adalah khazanah yang tidak ternilai.

"Kita tidak mahu keindahan alam semula jadi menjadi mangsa pembangunan tidak terkawal. Pelancong datang ke Tambun sebab nak tengok hutan dan batu kapur kita," terang Chan.

- Lokasi Best Western Premier The Haven Ipoh

- Laman sesawang www.bestwesternhaven.com.my

- Koordinat GPS U 4O 38' 14.2, T 101O 9' 43.2

Info

The Haven

  • Sebuah replika dinosaur dibangunkan di tebing Tasik The Haven kerana dipercayai reptilia berkenaan pernah mendiami kawasan berkenaan. Berdasarkan mitos, seekor naga berkepala ikan pernah mendiami Tasik Boga di daerah Tambun. Tasik berkenaan masih wujud hingga hari ini.
  • Orang Asli yang terdiri daripada suku kaum Malayana pernah mendiami hutan batu kapur Tambun, sekali gus menjadi maskot sebuah taman tema yang terletak berdekatan.
  • Tambun terkenal dengan limau Tambun atau limau Bali. Mula ditanam pada tahun 1880 oleh Tok Limbang dengan bantuan pekerja Jawa. Benih limau dibawa dari Kuala Kangsar. Bagi orang Cina, mereka dikatakan menanam limau ini sebagai ganti buah limau untuk perayaan Tahun Baru Cina.
Berita Harian X