Jumaat, 19 September 2014 | 6:08pm

Peserta realiti Da'i TV3 jatuh sakit, terpaksa tarik diri

Nik Ahmad Farhan mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.
Nik Ahmad Farhan mendapat rawatan di Hospital Sungai Buloh.

KUALA LUMPUR: Salah seorang peserta program realiti Da'i Pendakwah Milenia di TV3, Nik Ahmad Farhan Nik Muhamad tidak dapat meneruskan perjuangannya malam ini kerana dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh sejak 3 pagi tadi.

Peserta berusia 24 tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan untuk pemeriksaan lanjut dan difahamkan penyakit yang dialaminya belum dapat disahkan lagi.

Nik Ahmad Farhan yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan adalah antara peserta yang cemerlang pada episod pertama membabitkan empat peserta dari kumpulan A.

Difahamkan beliau tidak pernah mengalami sakit mengejut seperti itu sebelum ini.

Tambahan pula, beliau cukup aktif dalam bidang sukan, selain pernah menjadi penyerang bola sepak Kelantan bawah 17 tahun pada 2007.

Beliau juga seorang pakar motivasi dan pendakwah sekitar Semenanjung.

Da'i musim kedua bersiaran setiap Jumaat pada jam 9 malam di TV3 sejak 15 Ogos lalu.

Episod malam ini tetap diteruskan biarpun tanpa kehadiran Nik Ahmad Farhan.

Menurut penerbit program ini, Shukri Ibrahim yang dihubungi BH Online, memberitahu Nik Ahmad Farhan terpaksa menarik diri atas faktor kesihatan.

Susulan itu, beliau berkata, hanya tinggal lima peserta saja bersaing bagi merebut gelaran juara Pendakwah Milenia iaitu Ahmad Izzhar Ahmad Nazri, Nurul Dayana Mohd Zahari, Mohd Elyas Yusoff, Wan Dazrin Wan Din dan Ammar Ismail.

"Sepatutnya malam ini tiga peserta dari kumpulan A akan berentap. Tapi disebabkan Nik Ahmad Farhan jatuh sakit, jadi hanya dua saja bersaing malam ini. Bagaimanapun tazkirah yang sepatutnya dibacakan Nik Ahmad Farhan akan tetap dibacakan mentornya.

"Bagi sesebuah pertandingan realiti apabila pesertanya tidak boleh memberi komitmen kita terpaksa kita terpaksa menyingkirkannya. Semestinya akan lebih banyak drama yang akan dipaparkan dalam program ini," kata Shukri

Juara musim pertama dimenangi peserta wanita iaitu Nor Adibah Rozain. Apakah juara kali ini akan berpihak kepada wanita atau mengangkat golongan lelaki pula, sekali gus membawa pulang wang tunai RM50,000?

Datuk Rosyam Nor bertindak sebagai hos kali ini. Program ini boleh ditonton melalui laman sesawang Tonton www.tonton.com.my. Layari www.tv3.com.my/dai atau akaun Twitter rasmi Da'i di @Daitv3 dan facebook/daipendakwahmilenia.

Berita Harian X