Khamis, 25 September 2014 | 4:03pm

Hot FM jadi Cool FM?

PETALING JAYA: Benarkah Hot FM akan bertukar nama kepada Cool FM? Segala-galanya bakal terungkai esok apabila satu wajah berupa pengisian terbaharu yang bakal diperlihatkan oleh stesen berkenaan.

Hot FM tidak pernah kering idea dalam memberikan pengisian yang terkini kepada pendengar mereka dan pengisian kali ini khabarnya begitu menarik kerana tidak kedengaran gimik atau desas-desus pertukaran nama berkenaan.

Masih kekal dengan sasaran pendengar di bawah 35 tahun, Cool FM akan menghiburkan pendengarnya dengan pelbagai kandungan yang menarik.

Antara lain siaran luar secara langsung untuk segmen Cool FM Zon kendalian Deen.

Menerusi siaran luar ini, pendengar dapat mendengar sebuah mini showcase yang akan menghidangkan Salam Muzik serta Amir Jahari sebagai artis undangan.

Deen penyampai Hot FM
Deen penyampai Hot FM

Bakal menyajikan hampir lapan lagu setiap artis, siaran ini juga turut menjemput empat orang pendengar bertuah bersama seorang rakan untuk menyaksikan sendiri detik istimewa Cool FM, malam esok.

Selain itu, Cool FM juga akan mengetengahkan topik yang berkaitan dengan perkataan 'cool' itu sendiri di mana secara langsung ia bakal mengembalikan nostalgia pendengar.

Imbasan lagu paling 'cool' serta artis paling 'cool' dalam drama akan mampu membuatkan pendengar sama ada setuju atau tidak dengan pilihan penyampai Cool FM nanti.

Untuk mengetahui apakah benar Hot FM akan bertukar nama menjadi Cool FM selama-lamanya atau tidak, kenalah dengar di frekuensi radio berkenaan.

Untuk menyelami kelainan Cool FM, pendengar diseru putarkan radio ke stesen berkenaan pada frekuensi 97.6FM di Lembah Klang serta frekuensi biasa Hot FM di seluruh negara esok.

Berita Harian X