Sabtu, 18 Oktober 2014 | 1:12am

Pelajar UM juara Da'i musim kedua

NIK Ahmad Farhan (tengah), Ammar (kiri) dan Izzhar bersama piala yang dimenangi mereka. - Foto Munira Abdul Ghani
NIK Ahmad Farhan (tengah), Ammar (kiri) dan Izzhar bersama piala yang dimenangi mereka. - Foto Munira Abdul Ghani

SHAH ALAM: Pelajar Pendidikan Islam dan Pengajian al-Quran, Universiti Malaya, Nik Ahmad Farhan Nik Muhammad, dinobatkan sebagai juara program Da'i musim kedua sekali gus mengenepikan dua finalis lain dalam pencarian Pendakwah Milenia yang berlangsung di sini, malam tadi.

Kemenangan Farhan, 24, sekali gus berjaya menewaskan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Izzhar Ahmad Nazrui, 22 dan pelajar Usuluddin, Universiti Yarmouk , Jordan, Ammar Ismail, 25.

Nik Farhan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta hadiah tajaan pakej umrah sumbangan Clixter Mobile dan Myrezqi Sdn Bhd, Amanah Saham Pendidikan sumbangan Permodalan Nasional Berhad (PNB), barangan hiasan sumbangan Little Egypt, cenderahati dan kontrak bersama TV3. Trofi kemenangan disampaikan oleh ibunya sendiri, Zakiah Zakaria.

Nik Farhan berkata, kemenangan itu anugerah dari Allah selepas berdepan dengan pelbagai dugaan dan cabaran termasuk diserang penyakit pneumothorax (keruntuhan paru-paru) pada minggu kelima.

Berita Harian X