X
Jumaat, 3 Oktober 2014 | 11:30am

Saya cabar diri bawa watak besar Saloma - Nadia Aqilah

ANTARA pelakon teater P Ramlee The Musical, Tony Eusoff (atas, tengah), Nadia Aqilah Bajuri (kiri), Tiara Jacquelina (tengah) dan Lisa Surihani (kanan). - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ANTARA pelakon teater P Ramlee The Musical, Tony Eusoff (atas, tengah), Nadia Aqilah Bajuri (kiri), Tiara Jacquelina (tengah) dan Lisa Surihani (kanan). - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Dua musim terdahulu menerusi pementasan P Ramlee The Musical, watak utama Biduanita Negara, Saloma dipegang silih berganti bermula oleh Liza Hanim sebelum Elly Mazlein dan kini giliran Nadia Aqilah Bajuri pula menggalasnya.

Selain Nadia, teater itu turut menampilkan Lisa Surihani, Datin Seri Tiara Jacquelina dan Tony Eusoff.

Ia akan dipentaskan bermula hari ini (3 Oktober) hingga 13 Oktober di pentas berprestij Panggung Sari Istana Budaya.

Bagi Nadia, secara jelas beliau mengakui cabaran besar dalam menjiwai watak Saloma atau nama sebenarnya, Salmah Ismail.

"Tertekan itu perkara biasalah tambah lagi memegang watak besar ini. Tapi saya kena ambil semua ini daripada sudut yang positif. Apabila kita mencabar diri kita, barulah kita tahu sejauh mana diri ini boleh pergi. Harap semuanya akan berjalan lancar.

"Saya cukup bertuah menerima tawaran berharga ini. Tanyalah mana-mana pelakon pun, pasti ada yang teringin nak bawa watak Saloma. Terkejut juga ditawarkan watak ini kerana saya anggap saya masih baru," katanya.

Tidak mengambil mudah tanggungjawab yang diamanahkan, Nadia turut melakukan kajian mendalam mengenai riwayat hidup Saloma sebelum menyerap watak itu dalam dirinya.

Hal itu termasuklah dari segi fesyen, gaya bercakap, bahasa tubuh dan perwatakan.

ANTARA pelakon teater P Ramlee The Musical; (ikut pusingan jam) Tony Eusoff, Nadia Aqilah Bajuri, Lisa Surihani dan Tiara Jacquelina. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ANTARA pelakon teater P Ramlee The Musical; (ikut pusingan jam) Tony Eusoff, Nadia Aqilah Bajuri, Lisa Surihani dan Tiara Jacquelina. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Beliau turut melakukan penyelidikan menerusi internet, selain bertemu individu yang rapat dengan Saloma termasuk anak saudara Saloma, Melissa Saila.

Tambahan pula Melissa baru menghasilkan kisah Saloma di Astro, baru-baru ini.

"Secara peribadi, saya rasa Saloma ini seorang yang 'vogue' kerana banyak mengembara dalam dunia persembahannya. Beliau memang seorang yang ikonik daripada segi suara, pembawakan diri dan kisah hidupnya.

"Pendek kata Saloma seorang yang sangat memberi inspirasi kepada orang lain. Jelas Allahyarham memang dilahirkan untuk menjadi seorang primadona. Itu satu fakta yang tak boleh disanggah lagi," katanya.

Pementasan teater ini menampilkan sentuhan Pat Ibrahim selaku koreografer dan pengarah.

Berita Harian X