Selasa, 4 November 2014 | 12:18pm

Putus sudah kasih sayang - Hanez Suraya

HANEZ Suraya enggan menoleh ke belakang lagi. - Foto Munira Abdul Ghani
HANEZ Suraya enggan menoleh ke belakang lagi. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Tiada lagi cinta seterusnya mengharapkan hubungan yang pernah mekar ke jinjang pelamin.

Barangkali hasrat dan doa sesetengah pihak yang mahu melihat hubungan Hanez Suraya dengan Romie Razin Adilha bernoktah seakan dimakbulkan.

Hubungan mereka menurut pelakon putih gebu itu hanya bertahan hampir 10 bulan. Industri hiburan pernah kecoh apabila Hanez menjalin cinta dengan Romie di saat lelaki itu sedang berdepan dengan masalah rumah tangga.

Natijahnya ketika itu Hanez terus dikecam dan dihentam sekali gus dianggap sebagai perampas dan perosak rumah tangga orang.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Hanez berkata, dia enggan menoleh ke belakang lagi dan apa yang terjadi menjadi iktibar buat empunya diri.

"Keputusan untuk berpisah ini sudah lama dilakukan. Cuma hanya ketika saat ini baru saya sendiri bersedia untuk berkongsinya. Kami berpisah secara baik. Bukan nak kata serik dengan apa yang terjadi tetapi sebagai manusia biasa semua yang berlaku menjadi pengalaman berharga.

"Benar cinta itu buta. Saya juga seperti manusia lain yang ingin mengejar bahagia tetapi lupa untuk menjaga perihal lain. Ini bahagian hidup saya dan saya reda dengan suratan yang tertulis," katanya.

PASRAH dengan apa yang terjadi, Hanez reda dengan bahagian hidupnya. - Foto Munira Abdul Ghani
PASRAH dengan apa yang terjadi, Hanez reda dengan bahagian hidupnya. - Foto Munira Abdul Ghani

Seboleh-bolehnya Hanez memohon jasa baik semua yang di luar sana termasuk rakan media supaya tidak lagi mengaitkan dirinya dengan lelaki yang pernah hadir mencuri kamar hatinya.

"Kalau boleh andai cerita saya ditulis selepas ini, jangan kaitkan saya dengan dia lagi. Masalah rumah tangganya juga jangan babitkan saya lagi," katanya yang memohon pengertian ramai pihak.

Mengenai kerjaya lakonan, biar pernah bertebaran kononnya diboikot pihak tertentu, Hanez pasrah dengan apa yang terjadi.

Malah baru-baru ini, namanya digugurkan dari sebuah telefilem.

"Saya bersyukur kerana ramai yang menghubungi saya memberi sokongan moral dari belakang. Mereka suruh saya tenang dulu dengan apa yang terjadi," katanya yang memberitahu masih boleh meneruskan kehidupan saat ini.

Berita Harian X