X
Rabu, 19 November 2014 | 12:57pm

Tonton kuasai pencalonan ATA 2014 bagi Program /Siri Fiksyen Digital & Bukan Fiksyen Terbaik

KUALA LUMPUR: Portal video tempatan nombor satu di Malaysia, Tonton (www.tonton.com.my) berjaya menguasai pencalonan di Anugerah Televisyen Asia 2014 (ATA 2014) untuk kategori Program /Siri Fiksyen Digital & Bukan-Fiksyen Terbaik.

Kategori yang pertama kali diperkenalkan tahun ini mengiktiraf perkembangan aliran penghasilan tulen untuk kandungan digital.

Tonton berjaya menggondol empat daripada enam pencalonan dalam kategori berkenaan menerusi siri drama web "Autumn Di Hatiku", "Autumn Di Hatiku 2", "Dan Calonnya Adalah..." dan persembahan komedi web, "Stand Up".

Ketua Penjenamaan Tonton & Platform Digital TV Media Prima Digital (MPD), Shahida Azad Jamaluddin, berkata pihaknya begitu gembira apabila kebanyakan Siri Original Tonton sudah disenarai pendek sebagai finalis di ATA tahun ini.

"Kejayaan ini sangat bermakna buat kami yang telah berusaha keras memacu penghasilan kandungan digital untuk tontonan umum selain kualiti produksi yang terbaik.

"Mengetahui wujudnya keperluan untuk penonton di dunia global, ia bukan setakat menikmati kandungan tv, malah kami akan terus menawarkan lebih banyak kandungan digital pada tahun 2015 kelak," katanya.

Mencatatkan lebih empat juta pengguna berdaftar sehingga kini, Tonton turut menyambut ulang tahun ke-4 pada tahun ini.

Pengguna di seluruh dunia boleh menonton kesemua siri web yang tercalon termasuk siri web baharu "Hanya Satu" di www.tonton.com.my.

Lebih 239 pencalonan, menerusi 38 kategori dan melangkaui 13 negara kini bersaing untuk merebut kemenangan di ATA edisi ke-19, iaitu anugerah industri paling berprestij di rantau Asia.

Pemenang bakal diumumkan pada Malam Anugerah Gala bertempat di Marina Bay Sands, Singapura pada 11 Disember depan.

Berita Harian X