Jumaat, 27 Februari 2015 | 12:36am

Dakwaan Awie tak masuk akal - Rozana

VOKALIS kumpulan Wings, Awie dan isteri, Rozana Misbun. - Foto Rosela Ismail/Sairien Nafis
VOKALIS kumpulan Wings, Awie dan isteri, Rozana Misbun. - Foto Rosela Ismail/Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Isteri Awie, Rozana Misbun menyifatkan dakwaan penyanyi itu beliau 'merompak' anak-anak mereka dari sekolah pada 9 Februari lalu sebagai tidak masuk akal.

Rozana berkata, istilah 'merompak' tidak boleh diguna pakai dalam insiden berkenaan.

"Ia langsung tidak relevan. Anak-anak adalah darah daging saya. Saya ibu kandung mereka.

"Cuba fikir, macam mana saya mahu memaklumkan kepada dia terlebih dulu. Ini kerana setiap kali saya beritahu mahu mengambil anak-anak, mereka akan sepantas kilat dibawa lari.

"Tidak perlu dia (Awie) canang di media mengenai keraguan terhadap polis berpakaian preman. Rujuk saja ke Balai Polis Melawati untuk mendapatkan butiran anggota terbabit," katanya ketika dihubungi BH di sini, malam tadi.

Rozana berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Awie atau nama sebenar, Ahmad Azhar Othman yang mendakwa Rozana mengambil dua anak mereka, Putra Ahmad Rezzki, 7; dan Puteri Qasseh Antasha, 5, tanpa pengetahuannya.

Awie menggunakan istilah 'rompak' ketika menjelaskan tindakan isterinya itu mengambil anak mereka dari sekolah.

Sebelum ini, mahkamah memutuskan hak penjagaan tiga anak termasuk anak sulung, Putra Ahmad Merah, 8; diserahkan kepada Rozana hingga perintah kekal hak jagaan dikeluarkan. Terdahulu, Awie mendapat hak jagaan sementara secara ex-parte daripada mahkamah.

Mengulas dakwaan Rozana tidak menghantar Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha ke sekolah sejak hari mereka diletakkan di bawah jagaannya, Rozana menjelaskan, proses pertukaran sekolah tertangguh berikutan masalah sijil kelahiran.

"Memang mereka akan ditukarkan ke sekolah lain. Tetapi urusan pertukaran tergendala disebabkan surat beranak mereka tidak lagi sah diguna pakai selepas Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan mendapati sijil nikah kami palsu.

"Apabila sijil nikah palsu digunakan, secara automatik surat beranak atau sijil kelahiran anak-anak tidak lagi sah daripada segi undang-undang. Bagi saya, tidak perlu beriya-iya hantar anak ke sekolah swasta.

"Sekolah bukan penentu utama kejayaan anak-anak. Asuhan ibu bapa lebih penting," katanya.

Kemelut rumah tangga Awie dan Rozana tercetus sejak tahun lalu. Difahamkan, pada hari Awie merancang membuat bantahan mengenai keputusan hak penjagaan sementara kepada isterinya, dua daripada tiga anaknya diambil Rozana.

Berita Harian X