Ahad, 22 March 2015 | 4:10pm

Black tak kongsi gambar bayi di media sosial

KUALA LUMPUR: Penyanyi Black menegaskan tidak akan berkongsi wajah penuh bayinya, Khaleef Dayyan bagi menjaga privasi serta memastikan anak lelakinya itu membesar secara normal.

Black atau nama penuhnya Hanifah Md Hanafiah, 28, berkata, keputusan berkenaan diambil agar anaknya tidak terkena tempias dengan kerjayanya sebagai penyanyi.

"Saya tidak mahu terlalu mendedahkan anak saya di sosial media dan sebagainya kerana ingin dia membesar seperti lelaki normal saja.

"Seperti sekarang pun saya tidak mendedahkan gambar penuh wajah anak saya. Benar saya dan isteri berjanji untuk memuat naik gambar anak selepas 44 hari maka kami pun menunaikan janji kami," kata Black kepada BH Online.

Khaleef Dayyan adalah anak pertama hasil perkahwinan penyanyi lagu Mana Mungkin itu dengan Cira atau Naquia Yasirah Mohd Khairi, 30.

Black turut berkongsi pengalamannya sebagai seorang bapa yang begitu berharga serta sukar diungkapkan dengan kata-kata.

"Saya sekarang ini kalau boleh hendak cepat pulang untuk melihat wajah anak. Awal-awal dulu tak terasa sangat namun apabila anak semakin besar ini lagi rindu dibuatnya.

"Masa sekarang semuanya adalah milik anak yang mana kalau keluar membeli belah pun semuanya untuk anak.

"Kalau ada 'show' pun saya akan balik kerana susah hendak berjauhan dengan anak," kata Black mengakhiri perbualan.

Berita Harian X