Jumaat, 24 April 2015 | 7:27pm

Fahrin puji lakonan Izara Aishah dalam Pilot Cafe

KUALA LUMPUR: Pernah melakar nama menerusi drama Vanilla Coklat yang disiarkan menerusi slot Lestary di TV3 beberapa tahun lalu, kelibat Izara Aishah mula diperhatikan bergandingan dengan Aiman Hakim Ridza. Cuma ketika itu, mutu lakonannya pada tahap sederhana dan barangkali ia lebih dikaburi dengan kejelitaan yang dimilikinya.

Bagaimanapun, perlahan-lahan selepas hampir tiga tahun berkecimpung dalam arena seni, Izara pantas mengumpul kekuatan dan pengalaman yang ada. Namun dalam perjalanan membuktikan bakat lakonan yang dimiliki dan terus diasah selain imej bersih dirinya, kekasih kepada anak tiri Datuk Siti Nurhaliza, Adib Khalid ini juga tidak terlepas dengan beberapa siri kontroversi yang menerjah.

Baharu saja memenangi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Anugerah Tribute P Ramlee menerusi telefilem Seteguh Kasih Ibunda arahan Osman Ali, Izara dilihat akan membuatkan ramai lagi terpana dengan mutu lakonannya menerusi filem Pilot Cafe pula. Filem berkenaan yang akan mula ditayangkan di pawagam pada 30 April ini turut diarahkan Osman Ali.

Memegang watak sebagai Maya, Izara berjaya bermain dengan emosi. Malah ramai yang sudah menontonnya tak lepas memuji mutu lakonan. Kali pertama digandingkan bersama Fahrin, kedua-duanya dilihat berjaya mencipta keserasian di layar perak. Fahrin sebagai pelakon berpengalaman turut memuji Izara.

"Pada waktu penggambaran filem ini diadakan sekitar 2013, saya boleh katakan dan beranggapan dia (Izara) masih baharu. Tapi yang jelas, saya nampak dia sangat komited melakukan yang terbaik merealisasikan watak Maya. Cara dia mendengar panduan daripada Osman selaku pengarah dan untuk tahap baharu yang saya katakan tadi kepadanya, dia memang sudah memberikan yang terbaik.

"Asalnya saya memang agak skeptikal mengenai keserasian kami tetapi Alhamdulillah, semuanya berbalik kepada menghayati watak masing-masing," kata Fahrin yang memegang watak sebagai Ameer Reza.

Pilot Cafe diterbitkan Astro Shaw dan Tarantella Pictures. Filem ini diadaptasi daripada novel Pilot Cafe hasil karya Ahadiat Akashah. Ahadiat turut bertindak sebagai penulis skrip. Selain Fahrin Ahmad dan Izara Aishah, filem drama romantik ini turut dibintangi Remy Ishak, Neelofa, Keith Foo, Datuk Eizlan Yusof, Raja Ilya, Aishah Ilias, Ainul Aishah, Zaidi Omar dan Dian P Ramlee.

Filem ini turut mengangkat lagu berjudul Untuk Cinta yang didendangkan secara duet oleh Hafiz Suip dan Adira sebagai lagu tema Pilot Cafe. Lagu Untuk Cinta juga diterjemahkan dalam sebuah muzik video yang dirakam di Muzium TUDM, Sungai Besi. Selain itu, sebuah lagi lagu berjudul Yang Terindah nyanyian Hafiz turut mewarnai filem romantis ini sebagai latar muzik bagi beberapa babak.

"Pilot Cafe adalah filem adaptasi saya yang kedua selepas Ombak Rindu pada tahun 2011. Saya bersyukur dengan kepercayaan serta peluang yang diberikan oleh Astro Shaw dan Tarantella Pictures untuk menggalas tanggungjawab mengarah filem dari karya novelis terkenal tanah air, Ahadiat Akashah.

"Ia juga memberi cabaran baru buat saya untuk mengolah jalan cerita menjadi karya sinematik serta memastikan hasil adaptasi adalah baik dan unik disamping mengekalkan semangat dan tema novel," kata Osman Ali.

Selepas Pilot Cafe, Astro Shaw bakal muncul dengan sebuah filem genre aksi komedi iaitu Polis Evo yang menampilkan Shaheizy Sam dan Zizan Razak sebagai watak utama. Menyusul adalah filem hasil karya Osman Ali juga menerusi Langit Cinta yang dijangka menemui penonton di pawagam pada bulan Disember 2015.

INFO

Pilot Cafe

  • Pilot Cafe adalah filem kedua buat Fahrin Ahmad selepas filem Puaka Tebing Biru pada tahun 2007.
  • Menggunakan khidmat penyanyi Hafiz Suip dan Adira untuk lagu tema berjudul 'Untuk Cinta'.
  • Menjalani penggambaran di Kuala Lumpur, Kuala Terengganu dan Pulau Redang.
  • Set dan dekorasi kafe yang diberi nama Pilot Cafe juga telah dibuat khas hanya untuk penggambaran filem ini dan lokasinya di Pixie Mansion.
  • Novel Pilot Cafe yang diterbitkan pada tahun 1995 sangat popular dalam kalangan peminat novel hingga kini.
Berita Harian X