Isnin, 11 Mei 2015 | 5:27pm

Dan Calonnya Adalah kembali

PELAKON popular Aaron Aziz dan Zara Zya selaku peneraju utama. - Foto NSTP
PELAKON popular Aaron Aziz dan Zara Zya selaku peneraju utama. - Foto NSTP

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pernah mendapat sambutan ketika kali pertama disiarkan, siri popular Dan Calonnya Adalah akan bersiaran bermula 18 Mei ini dengan musim kedua menerusi portal video nombor satu di Malaysia, TONTON.

Drama komedi romantik 20 episod ini menampilkan pelakon popular Aaron Aziz dan Zara Zya selaku peneraju utama.

Memandangkan drama ini berjaya mencuit lebih daripada setengah juta penonton menerusi TONTON, Ma Chérie, selaku penaja utama musim kedua ini tampil bersama TONTON bagi menganjurkan peraduan atas talian 'Pencarian Gadis Ma Chérie' bermula sejak 24 Disember 2014 sehingga 1 Februari lalu.

Seorang pemenang bertuah dan berbakat turut dipilih iaitu Nisha Rodzlan sekali gus mewakili Ma Chérie memegang watak Sherry dalam drama ini.

Drama ini bermula dengan Aris (Aaron Aziz), anak kepada seorang hartawan yang dipaksa ibunya untuk mencari jodoh. Aris sebenarnya mempunyai seorang teman wanita bernama Yasmin (Mimi Lana).

Mereka merancang untuk berkahwin tetapi personaliti Yasmin tidak disenangi oleh ibu Aris, Datin Zana (Helvera Susanti). Apabila Aris meminta restu untuk berkahwin dengan Yasmin, Datin Zana meletakkan syarat bahawa Aris perlu terlebih dahulu keluar dengan 12 calon teman wanita.

Niat Datin Zana adalah untuk memberi Aris peluang menilai dan menyedari bahawa terdapat ramai lagi wanita lain yang lebih bagus daripada Yasmin untuk dijadikan isteri.

Fatin (Zara Zya), anak kepada pemandu mereka yang juga teman baik Aris, ditugaskan untuk membantu Aris sepanjang tempoh proses pencarian kerana kereta dan kad kredit dipunyai Aris sebelum ini ditarik kembali oleh ibunya.

Aris dan Fatin sememangnya akrab sejak kecil. Namun apabila meningkat dewasa, kedua mereka berhadapan dengan masalah untuk mencari teman hidup.

Fatin terlampau sibuk sehingga tiada masa untuk memikirkan soal jodoh. Aris pula sering berfoya-foya dengan ramai wanita sampai dia sendiri tidak tahu apa yang dia mahukan sebenarnya.

Pada masa yang sama, ayah Fatin mula risau dengan keadaan Fatin yang belum berpunya. Dia terpengaruh dengan pujukan Datin Zana untuk mendapatkan khidmat Miss Pooja (Susan Lankester), ejen cari jodoh yang sedang menguruskan pencarian 12 calon isteri Aris.

Ini menimbulkan kemarahan Fatin dan Aris apabila mengetahui ibu bapa mereka bersungguh-sungguh mahu mengatur hidup mereka. Pelbagai wanita sudah Aris temui, masing-masing mempunyai kerenah tersendiri. Semasa dalam proses pencarian itu, Aris terpikat dengan Sherry (Nisha Rodzlan) dan berniat untuk mengahwininya.

Aris meluahkan hasratnya kepada Datin Zana. Walau bagaimanapun, Datin Zana berkeras mahu Aris mencukupkan kuota 12 orang calon terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan. Siapakah yang akhirnya berjaya menawan hati Aris dan ibunya? Adakah Sherry bakal menjadi isteri Aris?

Jangan lupa menyaksikan drama komedi romantik, DAN CALONNYA ADALAH 2 bermula 18 Mei ini, 12.30 tengah hari, 20 episod serentak, hanya di TONTON.

Untuk mengikuti drama terbaharu ini, daftar akaun TONTON secara percuma menggunakan komputer, telefon pintar atau tablet (peranti Android dan iOS) untuk menyaksikan siri original TONTON, 'DAN CALONNYA ADALAH 2' pada bila-bila masa di mana jua. Layari laman web rasmi www.tonton.com.my/dancalonnya untuk maklumat lanjut dan klip video eksklusif. Ikuti TONTON menerusi Facebook, Twitter dan Instagram (@tontonMY) untuk berita dan perkembangan terkini.

Berita Harian X