Isnin, 18 Mei 2015 | 5:04pm

Amar tolak dakwaan popularitinya kerana kontroversi percintaan

[email protected]

PELAKON, Amar Baharin. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Amar Baharin. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Sering kali dikaitkan dengan gosip percintaan bersama gandingan dalam drama bersiri lakonannya, Amar Baharin tidak ralat sebaliknya menganggap ia adalah kejayaan bagi naskhah lakonannya itu.

Amar, 30, menolak dakwaan mengatakan populariti yang dikecapinya pada tahap ini adalah kerana kontroversi percintaan semata-mata. Baginya, gosip percintaan itu timbul kerana kejayaan drama bersiri itu sendiri.

"Bagi saya, kejayaan sesuatu naskhah itu yang berjaya mengangkat pelakon-pelakon yang menjayakan drama itu sendiri. Malah bukan saya saja yang sering dikaitkan dengan gandingan bersama dalam drama kerana pelakon lain juga terpalit dengan kontroversi.

"Benar sebelum ini saya dikaitkan dengan Izreen Azminda dan kini dengan Amyra Rosli pula kerana kami memegang teraju utama dalam drama dan menjayakan watak bercinta.

"Mungkin kerana peminat sendiri suka melihat gandingan kami dan berharap agar kami bersama di luar layar pula. Namun saya menganggap ia sebagai kejayaan drama itu sendiri yang sekali gus mengangkat nama-nama pelakon yang menjayakannya," kata Amar ketika dihubungi BH Online.

Justeru, Amar menganggap gosip bercinta dengan Amyra, 23, mungkin kerana kedua-dua mereka serasi apabila bergandingan dalam sesebuah drama yang dilakonkan dan berada di bawah pengurusan yang sama.

Antara drama gandingan Amar dan Amyra ialah Kalimah Jiwa, Kristal Maya dan Suamiku Encik Sotong. Terbaru, mereka kini bergandingan menerusi drama Cik Bunga Encik Sombong terbitan Global Station.

Amar baru selesai penggambaran sempena raya berjudul Hujan Pagi arahan Rashid Sibir yang turut membariskan pelakon hebat seperti Fauziah Nawi, Pekin Ibrahim dan ramai lagi.

Berita Harian X