Khamis, 28 Mei 2015 | 7:13pm

Hanez Suraya idam anak perempuan


KUALA LUMPUR: Dahulu Hanez Suraya sering diuji dengan dugaan dan kontroversi bertimpa-timpa. Memang lumrah hidup, itulah bayaran yang perlu diterimanya apabila melangkah ke alam glamor.

Tapi kini sebaliknya, si putih melepak itu kian dilimpahi keindahan bertubi-tubi pula selepas berkahwin dengan Romie Razin Adilha Mac lalu.

Biar percintaannya dahulu dengan suami dikecam ramai pihak kerana pernah dianggap sebagai perosak rumah tangga, Hanez kini memanjat kesyukuran kerana kisah lama seakan terus terhakis daripada ingatan khalayak. Lirik lagu Krisdayanti ciptaan Melly Goeslow berjudul 'Bertubi-tubi' sesuai menggambarkan apa yang dilaluinya kini.

Liriknya berbunyi ..bertubi-tubi rasanya, cubaan datang silih berganti, namun ku masih ada tersenyum kepadamu, tak berkurang cintaku padamu.

"Orang selalu kata dan lumrah hidup, sebelum nak kecapi bahagia kena lalui pelbagai dugaan dahulu. Sebelum kahwin memang terlalu banyak perkara yang menjeruk perasaan sendiri.

Tapi Alhamdulillah, selepas kahwin banyak yang manis bertandang. Saya berkesempatan mengerjakan umrah bersama suami dan anak tiri. Kemudian, saya terbuka hati untuk bertudung dan Alhamdulillah kini rezeki tuhan, ..saya berbadan dua pula.

ROMIE mengucup dahi Hanez pada majlis pernikahan mereka di Masjid Putra, Mac lalu. - Foto Munira Abdul Ghani
ROMIE mengucup dahi Hanez pada majlis pernikahan mereka di Masjid Putra, Mac lalu. - Foto Munira Abdul Ghani

"Saya tidak mahu pandang ke belakang lagi. Apa yang saya fikirkan kini ialah kebahagiaan bersama keluarga. Maniskan kehidupan sekarang dan saya harap ia akan berpanjangan. Mudah mudahan. Tak sabar menanti anak kandung sendiri pula melengkapkan keluarga bahagia kami," kata Hanez yang ditemubual pada pertunjukan fesyen Wanpa baru baru ini.

Kini usia kandungan Hanez sudah melepasi fasa tujuh minggu. Malah wajah Hanez juga semakin berseri-seri kebelakangan ini.

"Apabila hamil, memang betullah orang selalu kata akan timbul rasa malas. Dalam malas itu, saya bersyukur masih boleh memasak untuk anak dan suami selain membuat kerja rumah. Kuat tidur itu memang sudah pasti apabila kemalasan melanda. Cuma saya tak ada alahan pada waktu pagi hingga saat ini.

ROMIE bersama isterinya, Hanez Suraya selepas majlis pernikahan mereka di Masjid Putra, Mac lalu. - Foto Munira Abdul Ghani
ROMIE bersama isterinya, Hanez Suraya selepas majlis pernikahan mereka di Masjid Putra, Mac lalu. - Foto Munira Abdul Ghani

"Bila mengandung ini, sayang suami makin menjadi-jadi. Rasa macam puteri sahaja. Sebut apa sahaja yang diingini, pasti dipenuhi suami. Bayangkan tiba-tiba saya nak makan itu dan ini, suami sanggup bergegas dari pejabat untuk jemput saya keluar makan. Setakat ini pun saya tak mengidam bukan-bukan. Lucunya suami yang mengidam.

"Pernah suatu tengah malam, dia teringin nak makan dodol. Manalah nak dapat makanan sebegitu. Selalunya dodol popular masa musim raya. Tapi saya usaha juga minta orang buatkan dodol untuk penuhi permintaan itu. Dua anak tiri saya pun seronok saya berbadan dua dan kedua-duanya mahukan adik. Yang si adik itu siap minta adik perempuan lagi," katanya.

Ketika ini masih terlalu awal untuk Hanez memikirkan persiapan menyambut bakal anak sulungnya itu. Jauh di sudut hatinya dan suami, tersimpan keinginan untuk menimang cahaya mata perempuan.

ROMIE dan Hanez Suraya bersama anak-anak selepas majlis pernikahan di Masjid Putra, Mac lalu. - Foto Munira Abdul Ghani
ROMIE dan Hanez Suraya bersama anak-anak selepas majlis pernikahan di Masjid Putra, Mac lalu. - Foto Munira Abdul Ghani

Hanez dan suami memang berharap dapat timang anak perempuan. Mungkin juga lepas kahwin dia sudah jadi ibu segera kepada dua anak lelaki, jadi keinginan anak perempuan itu memang pantas dirasai. Cuma baharu sekarang nak merasa berbadan dua.

Selepas bertudung, Hanez mengakui lebih banyak istiqamah dalam diri. Malah perubahan itu turut menjadi garis panduan kepadanya untuk menjaga batas diri setiap hari termasuk ketika menerima tawaran berlakon.

"Perubahan saya ini mahu dilakukan secara perlahan-lahan. Ia proses belajar buat saya dan saya tak mahu terlalu drastik. Bimbang timbul riak dan makan diri. Dalam soal lakonan pun, saya kena fikirkan banyak aspek yang mungkin boleh mengguris hati suami. Suami mungkin tak cakap secara langsung tapi saya kena senantiasa peka dan berjaga-jaga dengan apa sahaja kemungkinan," katanya.

Berita Harian X