X
Selasa, 23 Jun 2015 | 1:13pm
 Aaron Mustapha Aziz dan Zainurul Razia Mohd Zainuddin ( Zara Zia ) di majlis keraian drama Dan Calonnya Adalah 2 di Lakesight Plaza Kelana Jaya.- Foto Zunnur Al Shafiq
Aaron Mustapha Aziz dan Zainurul Razia Mohd Zainuddin ( Zara Zia ) di majlis keraian drama Dan Calonnya Adalah 2 di Lakesight Plaza Kelana Jaya.- Foto Zunnur Al Shafiq

Gandingan Aaron, Zara menjadi dalam Dan Calonnya Adalah 2

KUALA LUMPUR: Biar pertama kali disatukan sebagai teraju utama, Aaron Aziz dan Zara Zya ternyata mencipta fenomena tersendiri buat penggemar drama di portal video, Tonton (www.tonton.com.my) menerusi drama Dan Calonnya Adalah 2.

Bayangkan, hanya sebulan selepas dilancarkan sejak 18 Mei lalu, drama ini meraih hampir setengah juta tontonan.

Ketua Pengurusan Jenama, Tonton dan Platform Rangkaian TV Digital, Media Prima Digital, Shahida Azad Jamaludin, berkata pihaknya cuba mencipta kelainan dengan menampilkan pelakon berbeza pada musim kedua ini dan gembira gandingan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton.

"Musim pertama dan kedua memang tiada kesinambungan. Cuma kita suntik elemen komedi romantik yang pastinya digemari ramai. Untuk musim kedua ini kita mencari pelakon lelaki yang berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an dan Aaron dalam gambaran. Tak sangka pula dia sudi berlakon dengan pihak Tonton. Zara juga seorang pelakon yang berbakat. Kombinasi mereka berdua sangat menjadi," katanya yang ditemui pada majlis meraikan drama berkenaan, baru-baru ini.

Musim pertama menggandingkan Faralyna Idris serta Anding Indrawani sebagai teraju utama dan ia menjurus kepada wanita yang mencari jodoh tetapi musim terkini, lelaki pula iaitu Aris, lakonan Aaron, yang mencari jodoh.

Aris dipaksa oleh ibunya untuk mencari jodoh. Aris bagaimanapun sudah mempunyai kekasih hati dan merancang untuk berkahwin. Tetapi ibunya tidak gemar dengan sikap kekasih Aris, lantas ibunya meletakkan syarat supaya Aris terlebih dahulu keluar dengan 12 calon teman wanita yang dipilih sebelum berkahwin dengan kekasihnya itu. Seorang calon teman wanita itu ialah Fatin (Zara Zya) yang juga kawan baik Aris.

Berikutan sambutan baik itu, Shahida Azad berkata, pihaknya kini sedang berkira-kira untuk menghasilkan drama yang sama dalam format telefilem. Selama bersiaran di portal Tonton, drama pendek itu disiarkan selama lima minit ke tujuh minit untuk 20 episod.

"Sebelum ini, kita pernah hasilkan telefilem untuk drama portal Autumn Di Hatiku. Insya-Allah untuk drama Dan Calonnya Adalah 2 juga kita akan lakukan perkara yang sama," katanya.

Pada majlis yang dihoskan Hani Hatim itu, Aaron dan Zara turut menjalankan aktiviti bersama peminat yang terpilih. Peminat terpilih itu ditapis daripada peraduan bergambar dengan mengikut empat gaya yang ditunjukkan dua pelakon itu di laman Instagram. Majlis bertemakan Somethin' Sweet itu ditaja jenama Ma Cherie, yang juga penaja drama terbabit.

Berita Harian X