Rabu, 24 Jun 2015 | 12:13pm

Rabbani masih dengan cara tersendiri, tetap laris

MENANDATANGAN perjanjian antara Pengarah Urusan, Dr. Hazimi Abdul Hamid (tiga dari kiri) dari Great Mavellous International (M) Sdn Bhd dengan Azadan Abdul Aziz (empat dari kiri) dari Kumpulan Rabbani sebagai Duta Produk Jus Asy Syafi di Dewan Orkid, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Seksyen 14, Shah Alam.- Foto Amirudin Sahib
MENANDATANGAN perjanjian antara Pengarah Urusan, Dr. Hazimi Abdul Hamid (tiga dari kiri) dari Great Mavellous International (M) Sdn Bhd dengan Azadan Abdul Aziz (empat dari kiri) dari Kumpulan Rabbani sebagai Duta Produk Jus Asy Syafi di Dewan Orkid, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Seksyen 14, Shah Alam.- Foto Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Sejak ditubuhkan pada 1997, kumpulan nasyid Rabbani masih bernyawa. Sekalipun Rabbani pernah dikatakan seolah-olah seperti kehilangan taringnya selepas kematian penyanyi utamanya Asri Ibrahim pada 2009 dan suasana genre muzik ini yang tidak semeriah dahulu, kumpulan yang terkenal dengan lagu Intifada dan Pergi Tak Kembali ini masih berjuang dengan cara tersendiri.

Malah saban tahun, setiap kali menjelma Ramadan kumpulan nasyid ini antara yang tidak pernah ketinggalan menjadi penyeri acara majlis berbuka puasa sekali gus menghibur tetamu dengan alunan lagu nasyid dan ketuhanan.

Sejak tahun 1991 hingga 2012, Rabbani memegang rekod yang cukup lama menjadi artis residen Hotel Singgahsana di Petaling Jaya sepanjang bulan Ramadan iaitu selama 23 tahun.

Hotel itu bagaimanapun sudah tidak beroperasi. Dari 'singgahsana' Rabbani 'hinggap' ke N'Dah Mahligai, Shah Alam.

PERSEMBAHAN dari Kumpulan Rabbani sepanjang bulan puasa di Dewan Orkid. - Foto Amirudin Sahib
PERSEMBAHAN dari Kumpulan Rabbani sepanjang bulan puasa di Dewan Orkid. - Foto Amirudin Sahib

Kemudian pada tahun ini, nasib masih menyebelahi mereka kerana menerima tawaran persembahan sepanjang Ramadan ini di Dewan Orkid Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pula.

"Alhamdulillah, rezeki kami tak putus. Malah setiap kali Ramadan tiba, tawaran membuat persembahan menghiburkan tetamu yang datang berbuka puasa masih berterusan," kata Azadan Abdul Aziz yang ditemui BH Online semalam di Dewan Orkid Wisma PKPS.

Malah semalam juga, Rabbani juga turut dilantik oleh Great Mavellous International sebagai duta produk minuman kesihatan, jus Asy Syafi.

Asy Syafi membawa maksud "Zat Yang Maha Memberi Kesembuhan". Produk jus ini diformulasi sendiri oleh pengasas syarikat berkenaan yang juga ahli farmasi iaitu Dr Hazimi Abdul Hamid.

"Jus kesihatan ini paling lengkap dengan gabungan 21 jenis herba terbaik dari seluruh dunia termasuk makanan sunnah yang terbukti berkesan mencegah bermacam jenis penyakit dan dapat menyihatkan tubuh badan.

"Terima kasih kepada Tuhan kerana mempertemukan kami dengan pihak Great Mavellous International. Kami akan memberikan kerjasama yang terbaik supaya orang ramai akan terus dapat manfaat terhadap produk ini," kata Azadan.

PERLANTIKAN Kumpulan Rabbani sebagai Duta Produk Jus Asy Syafi oleh Great Mavellous International (M) Sdn Bhd. - Foto Amirudin Sahib
PERLANTIKAN Kumpulan Rabbani sebagai Duta Produk Jus Asy Syafi oleh Great Mavellous International (M) Sdn Bhd. - Foto Amirudin Sahib

Sementara itu, Dr Hazimi berkata, pemilihan Rabbani ini seiring dengan keutuhan mereka melebarkan sayap seni di persada seni tempatan.

"Rabbani dikenali oleh kebanyakan penggemar hiburan dari pelbagai peringkat umur tak kira lelaki atau wanita. Besar harapan kami untuk melihat kumpulan nasyid ini mensasarkan produk jus ini sebagai sumber makanan kesihatan wajib di setiap rumah," katanya.

Untuk mengetahui lanjut mengenai produk ini boleh layari www.mavellous.my atau laman Facebook, (www.facebook.com/asysyafi)

Berita Harian X