Khamis, 2 Julai 2015 | 6:47pm

Teater muzikal P Ramlee ke Pulau Pinang, JB, Melaka

KUALA LUMPUR: Tiga kali dipentaskan termasuk di KL, Kuching dan Singapura, teater muzikal P Ramlee sekali lagi bakal dipentaskan dengan siri jelajah bermula di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka.

Mengetengahkan judul 'Dari Penang ke Singapura' teater terbitan Enfiniti Vision Media milik Datin Seri Tiara Jacquelina ini turut menampilkan pelakon yang sebelum ini pernah memberikan komitmen sama seperti Datuk Aznil Nawawi, Nadia Aqilah dan Tony Eusoff.

"Saya dan pasukan di Enfiniti Vision Media sangat gembira untuk berkongsi berita dan komitmen kami terhadap penerbitan teater ini yang pastinya akan terus menyumbang perkembangan aktiviti seni di negara kita.

"Menerusi produksi yang mengetengahkan lagenda negara kita, Allahyarham Tan Sri P Ramlee, semestinya kami mahu meraikan figura istimewa ini yang memberi impak terhadap industri perfileman tanah air dan hiburan negara kita," kata Tiara yang juga penerbit teater ini.

Tony Eusoff sebagai P Ramlee melihat peluang membawakan watak penting itu sebagai satu peluang keemasan yang cukup indah dikenang dalam pacuan kerjayanya.

"Matlamat dan sasaran peribadi saya ialah mahu mempersembahkan persembahan terbaik di Pulau Pinang, Johor Bahru dan Melaka. Anda pasti terhibur," katanya teruja.

Sementara itu, Nadia Aqilah sebagai Saloma pula menyifatkan peluang memegang watak berkenaan jelas memberi peluang kepadanya untuk merasai karakter bergelar primadona.

"Peluang membawa watak Sally (panggilan manja Saloma) cukup saya hargai. Ia memerlukan kerja keras dan saya yakin hal itu melengkapi keperluan dalam menyempurnakan watak ini," katanya.

Di Pulau Pinang, teater ini akan dipentaskan dari 28 hingga 30 Ogos, diikuti Johor Bahru (4 hingga 6 September) dan Melaka (11 hingga 13 September). Tiket dijual dari harga RM83, RM103, RM153 dan RM203. Layari www.ticketpro.com.my untuk keterangan lanjut.

Berita Harian X