Isnin, 17 Ogos 2015 | 3:48pm

Adlin sokong cita-cita Emelda kembangkan fesyen

ADLIN Aman Ramli dan isterinya, Emelda Rosmila.
ADLIN Aman Ramli dan isterinya, Emelda Rosmila.

KUALA LUMPUR: Lebih enam tahun mendirikan rumah tangga, Adlin Aman Ramli sebagai suami terus-terusan menyokong apa dilakukan isteri tercinta, Emelda Rosmila. Malah ketika isterinya sibuk bertungkus lumus membuat persiapan untuk menjayakan pertunjukan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) semalam di Pavilion, Adlin juga umpama pembantu peribadi dan pegawai seranta buat isterinya itu.

Beberapa hari sebelum tarikh pertunjukan fesyen itu, Adlinlah yang menguruskan soal jemputan media dan mengingatkan tetamu untuk hadir ke acara fesyen popular itu. Emelda sendiri yang ditemui beberapa jam selepas pertunjukan fesyen berakhir mengakui sangat menghargai usaha dan sokongan suaminya dalam memastikan semuanya berjalan lancar.

Penat lelah sejak empat bulan lalu membuat persiapan pertunjukan fesyen yang berlangsung sejak 12 hingga 16 Ogos itu dilihat sangat berbaloi dan bermakna kerana insan yang paling erat di sisi sentiasa berada dekat.

Selepas bergelar pelakon, penyampai radio Peace Yall FM, kini sudah pasti kerjayanya sebagai pereka fesyen di bawah jenama EmeldaRose bukan lagi perkara mainan.

"Dia tahu apa yang saya mahu dan sukakan dalam hidup ini termasuk perkara membabitkan bidang fesyen. Dia sangat menyokong. Dia nampak usaha saya ini bukan sekecil anak. Jadi dia tak lokek menjadi sandaran terkuat buat saya. Malah dia juga sangat membantu. Ada kerja saya pun dia tolong lunaskan contohnya seperti hantar jahit manik di kedai jahitan.

"Bayangkan kalau saya berjaga hingga lewat pagi pun, dia akan bersengkang mata sama. Pernah saya tidur enam pagi, maka waktu yang sama juga dia tidur. Saya sangat bertuah kerana ada dia di sisi. Usahanya amat saya hargai. Buat insan bernama Adlin Aman Ramli, terima kasih banyak atas apa yang anda sudah lakukan," kata Emelda.

Menceritakan lanjut dunia fesyen yang diceburinya, Emelda melihat pembabitannya di KLFW 2015 sebagai pencetus untuk terus mengukuhkan lagi jenama, EmeldaRose.

Ironinya bidang fesyen sudah tiga tahun diceburi adik ipar kepada Datuk AC Mizal ini. Sebelum pentas KLFW, Emelda pernah menyertai pertunjukan sebegitu termasuk berkongsi pentas dengan pereka tersohor, Zang Toi.

"KLFW 2015 umpama permulaan untuk saya terus terbang tinggi. Insya-Allah. Pentas fesyen bukan pentas glamor. Saya pernah lalui dunia glamor ketika menjadi pelakon. Dunia pereka fesyen ini seperti percaturan dalam meneruskan perniagaan yang diminati. Ia bukan kerja suka-suka. Dunia fesyen ini sentiasa berputar. Ia datang dan pergi. Tapi saya yakin setiap pereka fesyen mahukan identiti sendiri.

"Jika ada yang beranggapan saya ini seperti pereka 'segera', saya tak cepat melatah. Orang di luar boleh memberikan apa sahaja pendapat. Saya sendiri masih di peringkat belajar menjadi pereka fesyen. Saya siap masuk kelas jahitan lagi dan bukan sekadar semberono. Tiga bulan saya bersama tukang jahit untuk kelas intensif secara perseorangan. Apa yang saya lakukan ini atas paksi cinta dan bukan sekadar menjual nama," katanya.

Emelda mengakui minatnya terhadap dunia fesyen mula bercambah kerana pantang nampak fabrik yang cantik pasti akan dibeli. Lucunya, ada kain yang dibeli dan dibiarkan begitu sahaja. Pendek kata dia memang sukakan dunia fabrik. Kelulusan dalam bidang grafik yang dipelajarinya sebelum ini membuatkan dia gemar bermain warna seperti mana dirinya suka mencampur adukkan warna kain.

"Kalau ikutkan diri sendiri, saya ini jenis yang sangat ringkas. Gemar mengenakan jeans dan kemeja T sahaja. Tapi sesekali saya juga teringin melaram dengan gaun cantik. Dunia fesyen ini seronoknya saya boleh reka sendiri dan tak salah saya memakainya untuk tujuan promosi atau menghadiri acara tertentu. Dulu nak ke majlis anugerah, ada pereka fesyen yang menaja tetapi sekarang saya boleh gayakan busana rekaan sendiri.

"Kegemaran atau identiti rekaan saya mungkin lebih kepada perincian yang diterapkan dalam setiap rekaan. Ikutkan sebelum ini saya ada membuka stor berkonsep di Axis Atrium di Ampang. Tapi ia tak bertahan lama. Insya-Allah kalau ada rezeki dan bajet lebih, saya nak buka butik pula. Semestinya saya mahu pamerkan baju yang direka di tempat yang sesuai. Kalau nak letak di rumah itu tak sesuai pula dan nampak tak profesional," katanya.

Mengenai dunia lakonan yang disertainya sejak 14 tahun lalu, Emelda tak menafikan rasa rindu untuk kembali beraksi. Cuma masa agak membataskan.

"Tapi sejak tiga bulan menjadi veejay sepenuh masa di Peace Yall FM, saya umpama berlakon bercakap dengan orang. Malah ketika saya sedang teruja mengembangkan label fesyen, saya pasti kena ada pengorbanan," katanya.

Berita Harian X