Sabtu, 5 September 2015 | 11:39pm

FFM 27: Lelaki Harapan Dunia menang 4 kategori utama

BARISAN tenaga kerja filem Lelaki Harapan Dunia yang mengungguli FFM 27. NSTP/Zunnur Al Shafiq
BARISAN tenaga kerja filem Lelaki Harapan Dunia yang mengungguli FFM 27. NSTP/Zunnur Al Shafiq

KUALA LUMPUR: Dengan 13 pencalonan, filem Lelaki Harapan Dunia mendominasi empat kategori utama Malam Kemuncak FFM 27 berlangsung tadi di Dewan Plenary, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini.

Kategori yang dimenangi filem terbitan Everythings Film Sdn Bhd itu sebentar tadi ialah Anugerah Pengarah Terbaik, Anugerah Filem Terbaik, Anugerah Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Pengarah filem berkenaan, Liew Seng Tat dalam ucapannya, berkata kejayaan itu adalah kemenangan bersama untuk seluruh warga produksi filem berkenaan.

Katanya, beliau berbesar hati kerana LHD diterima baik oleh semua pihak.

Terdahulu, filem ini sudah diumumkan sebagai pemenang kategori Penataan Seni Terbaik pada acara awal perasmian FFM 27 yang berlangsung di Symphony Lake Suite, KLCC.

Kategori tumpuan iaitu Pelakon Wanita Terbaik turut menyaksikan Fazura menepati ramalan apabila menang kategori itu bagi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia terbitan kerjasama Astro Shaw Sdn Bhd, Global Station Sdn Bhd dan Red Film Sdn Bhd.

Bagaimanapun kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik yang turut mencalonkan nama beliau menyebelahi lakonan Nadiya Nisaa menerusi filem Terbaik Dari Langit.

Manakala, Lee Sai Peng berjaya merangkul anugerah bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem The Journey yang meraih kutipan 18 juta.

Malam Kemuncak FFM27 dikendalikan Sherry Alhadad bersama Nabil manakala Amy Search, Najwa Mahiaddin, Joe Flizzow, Indah Ruhaila, Misha Omar, Sona-One, Hazama dan Amir Jahari tampil sebagai penyanyi undangan.

Barisan penyampai anugerah pula terdiri daripada Datuk Yusof Haslam, Fazura, Liyana Jasmay, Scha Alyahya, Aziz M Osman, Hans Isaac, Datin Sofea Jane serta Erma Fatima.

FFM27 mengangkat tema Sehati Sejiwa dan bekerjasama dengan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) bekerjasama sebagai rakan promosi.

PELAKON Lelaki dan Wanita Terbaik FFM 27, Fazura (kanan) dan Lee Sai Peng. - Foto BH Online
PELAKON Lelaki dan Wanita Terbaik FFM 27, Fazura (kanan) dan Lee Sai Peng. - Foto BH Online

Senarai pemenang FFM 27

  • Filem Box Office - The Journey
  • Penyunting Terbaik - Adilan Azemi (Dollah Superstar)
  • Sinematografi Terbaik - Erik Yong (The Journey)
  • Pelakon Kanak- Kanak Terbaik - Raykarl Iskandar (Lelaki Harapan Dunia)
  • Cerita Asal Terbaik - Liew Seng Tat (Lelaki Harapan Dunia)
  • Lakon Layar Terbaik - Mamat Khalid (Amir & Loqman Pergi Ke Laut)
  • Pengarah Harapan - Raja Mukhriz (Ophilia)
  • Pelakon Harapan Wanita - Dawn Cheong (Cuak)
  • Pelakon Harapan Lelaki - Kodi Rasheed (Ophilia)
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik - Nadiya Nisaa (Terbaik Dari Langit)
  • Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik - Amirul Afendi ( Terbaik Dari Langit)
  • Karyawan Sepanjang Zaman - Othman Hafsham
  • Anugerah Khas Juri
    • The Great Lion
    • Amir & Loqman Pergi Ke Laut
    • Terbaik Dari Langit

  • Pelakon Wanita Terbaik - Fazura (Manisnya Cinta Di Cappadocia)
  • Pelakon Lelaki Terbaik - Lee Sai Peng ( The Journey)
  • Filem Bukan Di Dalam Bahasa Melayu - Astro Shaw Sdn Bhd ( The Journey)
  • Pengarah Terbaik - Liew Seng Tat ( Lelaki Harapan Dunia)
  • Filem Terbaik - Lelaki Harapan Dunia

PENGACARA FFM 27, Nabil dan Sherry Alhadad. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGACARA FFM 27, Nabil dan Sherry Alhadad. - Foto Zunnur Al Shafiq

Senarai 10 pemenang pada malam perasmian FFM 27 pada 2 September lalu:

  • Filem Animasi Cereka Terbaik: Ribbit - KRU International Sdn Bhd.
  • Filem Animasi Bersiri Terbaik: Rimba Racer - Glue Studio Sdn Bhd.
  • Kesan Khas Terbaik: Seventh - Mirage Works.
  • Anugerah Pereka Kostum/Busana Terbaik: Elaine Ng & Wing Shum - Hungry Ghost Ritual.
  • Lagu Tema Asal Terbaik: Yuna/Lautan - Lagenda Budak Setan 3.
  • Penataan Bunyi Terbaik: Winson Poon - Hungary Ghost.
  • Penataan Seni Terbaik: Tunku Mohd Taufek/ Tunku Tommy Mansur - Lelaki Harapan Dunia.
  • Filem Pendek Terbaik: Cho We Jun - Salvaj.
  • Skor Muzik Asal Terbaik: Oii Su Lyn & Teoh Eng Hooi - Manisnya Cinta Di Cappadocia.
  • Penggiat Belakang Tabir: Mariam Ibrahim.
Berita Harian X