Ahad, 13 September 2015 | 3:54pm

Vanidah Imran bergelut tamatkan pengajian

VANIDAH Imran bersama suami dan anak di Majlis Konvokesyen beliau di PWTC. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
VANIDAH Imran bersama suami dan anak di Majlis Konvokesyen beliau di PWTC. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Pelakon Vanidah Imran menjadi seorang daripada penerima ijazah daripada lebih 7,500 pelajar yang menamatkan pengajian pada majlis konvokesyen ke-17, Universiti Terbuka Malaysia berlangsung hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau menerima ijazah sarjana muda Bahasa Inggeris pada majlis konvokesyen universiti berkenaan yang berlangsung sejak semalam hingga 15 September ini.

Jika selama ini beliau hanya menyarung jubah konvokesyen dan menggenggam ijazah atas paksi bergelar pelakon, hari ini semua itu menjadi kenyataan di alam realiti. Ia bukan sekadar lakonan lagi. Lebih istimewa detik indah dan bersejarah itu turut disaksikan suami tercinta, Rashidi Ishak dan dua anak mereka, Mikail Aimran dan Mariyam Rashika.

Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-20 itu memulakan pengajian sejak 2010 dan menamatkannya tahun lalu. Vanidah menuntut di cawangan universiti berkenaan di Petaling Jaya.

"Bapa saya selalu menekankan yang dunia pendidikan ini sangat penting. Cuma pada beberapa peringkat hidup, saya terpaksa menangguhkan keinginan itu. Ikutkan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia saya ada mendapat tawaran untuk meneruskan pengajian Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di London tetapi saya menolaknya.

"Tapi tak sangka kini saya masih berpeluang menamatkan pengajian dalam bidang yang hampir sama. Selama ini saya selalu cakap dalam diri yang suatu hari nanti saya akan dapat menggenggam ijazah dan ia akhirnya jadi kenyataan.

"Alhamdulillah, empat tahun berjuang untuk pengajian ini bukanlah tempoh mudah. Saya bergelut sebagai pelajar sambilan dan pada masa yang sama bergelar ibu, isteri dan wanita berkerjaya," katanya yang ditemui BH Online sebentar tadi.

Menurut Vanidah yang pernah memikul mandat sebagai pengacara Nona di TV3, bapanya hingga saat ini sebenarnya seakan tidak gemar melihat diri beliau memilih jalan sebagai anak seni. Bagi bapanya, kerjaya seni dilihat tidak mampu menjamin masa depan dan berharap suatu hari nanti Vanidah akan membuat keputusan atau benda lain.

"Pada satu tahap saya melihat kehidupan saya sebagai anak seni melalui rutin yang sama. Saya pergi ke lokasi penggambaran dan kemudian balik. Saya melakukan rutin yang sama saban tahun.

Daripada situ saya memulakan sesuatu yang lain dan saya nekad untuk sambung belajar. Asalnya saya mahu belajar dalam bidang persembahan seni tetapi atas beberapa sebab akhirnya saya memilih Bahasa Inggeris.

"Pengajian Sarjana Muda Bahasa Inggeris ini sebenarnya pun mempunyai pelbagai cabang bidang termasuk dunia drama, psikologi, kewartawanan dan banyak lagi. Awal tiga tahun pengajian, ia agak lancar kerana saya ada pembantu rumah. Hanya pada tahun keempat, saya terpaksa menguruskan rumah tangga tanpa bantuan pembantu rumah dan pada masa yang sama menjadi pelajar.

"Tapi saya ini nampaknya jenis yang boleh bekerja dan belajar di bawah tekanan. Jadi segala dugaan dan cabaran mendatang dihadapi sebaik mungkin. Tanyalah anak dan suami saya betapa bergelutnya diri ini. Saya terpaksa tolak tawaran kerja seni kerana tumpuan kepada kuliah dan tugasan sampingan.

Waktu genting sebeginilah suami banyak memahami dan mengalah dalam banyak hal. Anak dan suami takkan kacau saya masa itu," katanya.

Berita Harian X