Ahad, 20 September 2015 | 10:35am

Kerja berlawak banyak ubah hidup Achey dan keluarga

KUALA LUMPUR: Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH2013), Achey atau nama sebenarnya, Mohd Nasir Hamzah terus memilih untuk menjadikan bidang lawak sebagai sumber rezekinya. Biarpun ada yang masih mempertikaikan gaya dan suara nyaringnya, Achey yang juga juara program Bintang Mencari Bintang di TV3, tidak mahu melatah.

Baginya lumrah bukan semua yang akan menyukainya. Bahkan jika ada yang menganggap berlawak itu suatu kerja mudah, Achey menganggap ia sebaliknya. Bahkan rezeki yang ada diterima sedikit sebanyak dikongsi bersama keluarga. Niat Achey untuk terus membantu sekali gus mengurangkan beban keluarga tak akan dilupakan.

"Alhamdulillah kerja berlawak ini memang banyak mengubah hidup saya. Nak kata mewah itu tidaklah juga. Tapi Alhamdulillah saya senang dengan kehidupan sekarang dan boleh bantu keluarga. Kami sekeluarga sudah tak sesusah dahulu dan dapatlah juga salurkan bantuan kepada keluarga," katanya kepada BH Online.

gn4id:9500848

Dengan minat dan anugerah yang dimiliki, Achey percaya sisi humor yang dimilikinya itu ada pada semua orang. Cuma ia berbalik kepada kesungguhan dan keberanian untuk mewarnakan bakat yang ada itu. Selesa menjadi diri sendiri tanpa dibayangi sesiapa, Achey yang juga anggota kumpulan Bocey terus tegar meneruskan survivalnya sebagai pelawak generasi terbaharu.

"Tak saya nafikan yang pelawak zaman sekarang sangat beruntung berbanding pelawak dahulu. Tetapi generasi pelawak kini patut berterima kasih kepada pelawak generasi lama kerana membawa tahap komedi sampai ke peringkat sekarang. Kami ini umpama menumpang usaha yang dibawakan mereka sejak zaman dahulu.

"Allahyarham Harun Salim Bachik antara individu yang banyak membimbing saya menjadi pelawak yang baik. Saya juga suka gaya Allahyarham Din Beramboi yang menjadi dirinya sendiri ketika berlawak. Ikutkan saya nak jadi penghibur. Pelawak ini pun dalam kategori penghibur juga. Jadi okeylah juga.

"Bagi saya berlawak itu saya selalu melihat kepada situasi. Kalau guna lawak menggunakan ayat tetapi tak semua orang yang menonton boleh faham. Jadi saya sendiri selesa guna lawak slapstik. Kalau berlawak secara urban di kampung, memang khalayak takkan faham. Tetapi kalau slapstik orang akan faham. Lawak itu perlu bergantung kepada situasi seperti saya katakan tadi dan khalayak yang menerimanya," katanya.

Berita Harian X