Khamis, 24 September 2015 | 2:32pm

Ungu gegar peminat di ibu negara

KUALA LUMPUR: Kumpulan Ungu menerusi Konsert Ungu Mozaik Tour 2015, menggegarkan peminat malam tadi di ibu negara dengan mencetuskan barisan lagu popular mereka sepanjang dua dekad berkecimpung dalam bidang nyanyian.

Memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pertama bagi Konsert Ungu Mozaik Tour 2015, band dari Indonesia itu memberikan persembahan bertenaga di atas pentas Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Vokalis kumpulan Ungu, Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said ternyata masih menjadi kegilaan ramai.

VOKALIS kumpulan Ungu, Pasha ketika Konsert Ungu Mozaik Tour 2015 di Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
VOKALIS kumpulan Ungu, Pasha ketika Konsert Ungu Mozaik Tour 2015 di Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Berbekalkan wajah kacak, kemantapan vokal dimiliki oleh vokalis itu juga tidak dapat disangkal lagi.

Ungu dianggotai oleh Makki, Oncy, Rowman dan Enda, turut dijadual mengadakan konsert sama di Kuching, Sarawak (25 Septemer) dan Kota Kinabalu, Sabah (27 September).

Membuka pentas dengan memaparkan montaj pembabitan Ungu sejak 2006, lagu rancak berjudul Hatiku Hampa menjadi pilihan untuk menarik perhatian peminat untuk turut berdansa mengikut alunan lagu dipersembahkan.

SELAIN Pasha (tengah), Ungu turut dianggotai oleh Makki, Oncy, Rowman dan Enda. - Foto Nik Hariff Hassan
SELAIN Pasha (tengah), Ungu turut dianggotai oleh Makki, Oncy, Rowman dan Enda. - Foto Nik Hariff Hassan

Berbanding konsert mereka tahun lalu, Ungu lebih bijak memilih lagu-lagu popular mereka seperti Percaya Padaku, Seperti Yang Dulu, Aku Bukan Pilihan Hatimu, Kekasih Gelapmu, Andai Ku Tahu, Tercipta Untukku, Cinta Dalam Hati dan banyak lagi.

Penyanyi Stacy turut diundang berkongsi pentas bersama Ungu menyanyikan lagu Berteman Sepi yang juga single terbaharu kolaborasi mereka.

VOKALIS kumpulan Ungu, Pasha membuat persembahan bersama peminatnya ketika Konsert Ungu Mozaik Tour 2015 di Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
VOKALIS kumpulan Ungu, Pasha membuat persembahan bersama peminatnya ketika Konsert Ungu Mozaik Tour 2015 di Kuala Lumpur. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Kumpulan Ungu menutup pentas dengan mempersembahkan lagu Demi Waktu yang mempopularkan mereka satu ketika dahulu.

Pemilihan lagu terakhir itu juga begitu tepat dengan isu mengatakan Pasha bakal meninggalkan Ungu kerana ingin menceburi bidang politik.

Konsert jelajah itu juga bertambah istimewa kerana meraikan ulangtahun ke-10 kumpulan itu bersama syarikat rakaman Suria Records di Malaysia.

Band itu turut menyanyikan lagu hari jadi versi akustik khas untuk SRC.

Berita Harian X