Jumaat, 25 September 2015 | 4:45pm

Afgan tulis jenaka pada kertas, cuba tangani sifat pemalu

AFGAN menghiburkan peminatnya di Konsert Suara Hati Afgan yang diadakan di Dewan Planeri Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 September lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
AFGAN menghiburkan peminatnya di Konsert Suara Hati Afgan yang diadakan di Dewan Planeri Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 September lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR : Penyanyi Afgan menjelaskan beliau mencuba sedaya upaya untuk mengatasi perasaan malu supaya tidak disalah anggap oleh sesetengah pihak.

Afgan atau nama sebenarnya Afgan Syahreza, 26, berkata, beliau menulis beberapa jenaka yang terlintas di fikiran sebagai persediaan untuk berkomunikasi dengan peminat yang hadir ke Konsert Suara Hati Afgan di Dewan Planeri Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 18 September lalu.

"Seperti semua sedia maklum, saya memang mempunyai masalah pemalu dan cuba sebaik mungkin untuk mengatasi perkara itu.

"Bagi memastikan kelancaran konsert, saya menulis jenaka yang ingin disampaikan di atas kertas terlebih dahulu. Alhamdulillah, sedikit sebanyak saya dapat mengatasi rasa malu itu sekali gus memperbaiki komunikasi dengan penonton.

"Konsert ini dianggap sebagai satu karya terbaik sepanjang perjalanan kerjaya saya sebagai seorang penyanyi dan saya gembira melihat peminat turut berpuas hati," katanya kepada BH Online.

Penyanyi berlesung pipit kelahiran Indonesia itu dilihat semakin bijak berinteraksi dengan peminat dengan menyelitkan elemen jenaka spontan selang beberapa lagu.

Penyanyi berdarah Minangkabau itu berjaya membuat peminat terhibur dengan alunan suaranya selama tiga jam beraksi di pentas berprestij Dewan Plenary KLCC sekali gus membuktikan beliau selayaknya menyandang gelaran Artis Terbaik Asia 2014 yang diraih pada Anugerah Festival Muzik Pop Asia 2014.

Berita Harian X