Khamis, 29 Oktober 2015 | 8:53am
DATUK Sheila Majid ketika membintangi filem Ali Setan pada 1985.
DATUK Sheila Majid ketika membintangi filem Ali Setan pada 1985.

Sheila Majid kembali berlakon dalam filem Sinaran

PENYANYI, Datuk Sheila Majid, pada Pelancaran Album OST Sinaran bersama Datuk Sheila Majid di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee
PENYANYI, Datuk Sheila Majid, pada Pelancaran Album OST Sinaran bersama Datuk Sheila Majid di Red Box, The Gardens, Kuala Lumpur. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Dialog 'Tipah tertipu bang, Tipah tertipu' yang dilontarkan Datuk Sheila Majid ketika membintangi filem Ali Setan pada tahun 1985 cukup berbekas hingga saat ini. Filem itu yang pertama dan terakhir dilakonkannya.

Tetapi barangkali jika ada yang mungkin merindui kelibat penyanyi lagu Pengemis Muda itu di layar perak, patut ke pawagam menonton filem Sinaran bermula 26 November hadapan.

Selepas dirisik-risik, penyanyi berusia 50 tahun dengan nama penuh Shaheila Abdul Majid, memegang peranan sebagai mentor inspirasi kepada watak utama di dalam filem itu. Biar hanya sebagai penampilan istimewa, pastinya kelibat ratu jazz negara ini akan menggamit memori indah buat peminatnya.

Dalam pertemuan dengannya ketika pelancaran album runut bunyi Sinaran di Redbox Karaoke, The Gardens baru baru ini, Sheila sebenarnya enggan berkongsi lebih lanjut mengenai lakonannya dalam filem itu yang diarahkan Osman Ali dan dibintangi Lisa Surihani, Izara Aishah, Evan Sanders dan ramai lagi. Pastinya semua itu akan kekal misteri dan jadi kejutan buat pemuja bakatnya.

"Nak tahu kenalah tengok filem ini. Saya pun belum tengok lagi filem itu keseluruhannya. Hanya menonton trelernya sahaja. Hakikatnya, saya cukup teruja untuk menontonnya kelak," pintasnya seperti mahu mengelak tumpuan temubual itu terjurus kepada hal lakonannya.

Namun saat ditanya mengenai tercetus idea lagu dendangannya menjadi inspirasi di dalam filem Sinaran itu, Sheila akui rasa bangga kerana akhirnya ia menjadi realiti. Malah selain tujuh lagu lamanya diberi susunan baharu dan dinyanyikan penyanyi lain, dua lagu baru turut dimuatkan. Satu daripadanya berjudul Sinaran Cinta dinyanyikan Sheila dan Tanpamu oleh Malaque Mahdaly.

"Idea ini sebenarnya timbul beberapa tahun lalu. Kevin Chin selaku penerbit filem dan runut bunyi album Sinaran ada berjumpa pihak pengurusan saya. Kevin memang ada mencadangkan idea ini dan meyakinkan bahawa lagu dendangan saya boleh dibikin muzikal. Cuma selang beberapa tahun, hal ini berlalu sepi begitu saja. Saya pun anggap mungkin bukan rezeki.

"Bagaimanapun tahun lalu, Kevin menghubungi pihak saya. Ketika itu penggambaran filem Sinaran sudah pun sudah dijalankan. Saya turut dimaklumkan ada lagu baharu yang diterbitkan Kevin Sendiri iaitu Sinaran Cinta untuk dinyanyikan. Dipendekkan cerita, semuanya bagai dipermudahkan. Lagu Sinaran Cinta ini amat menyegarkan.

"Untuk lagu lama yang diberi nafas baharu saya ada juga terbabit secara langsung memberi nasihat. Saya memang cerewet apabila bercakap soal muzik. Ada lirik lagu saya yang diubah suai untuk kesesuaian. Tapi tak banyaklah yang diubah. Secara keseluruhannya saya amat berbesar hati dengan projek ini apabila ada pihak yang menghargai kerjaya dan bakat saya untuk dijadikan filem," katanya yang anggun dengan persalinan jenama Wallis.

Video muzik Sinaran Cinta juga sudah disiapkan. Pengarah Indonesia, Rizal Mantovani dipertanggungjawabkan menyiapkan video berkenaan di Puncak, Jawa Barat, Indonesia.

Ini bukan kerjasama pertama Sheila dengan Rizal, seorang yang disifatkan sangat berbakat dan mementingkan kesempurnaan. Mereka pernah bekerjasama untuk video muzik Jujur Saja. Penggambaran diadakan di sebuah rumah agam, kira-kira enam jam perjalanan menempuh kesesakan trafik dari Jakarta.

Dalam perkembangan lain, Sheila turut memberitahu mengenai album baharunya yang sedang disiapkan.

"Lagu Sinaran Cinta ini saya berdiri dengan sendirinya. Mungkin ada yang menganggap ia sebagai single terbaharu. Tapi memang ada lagu lain yang akan menyusul. Sudah lima lagu dirakamkan dan tinggal tiga lagu saja lagi untuk melengkapkan album ini.

"Pastinya album ini akan menjadi simbolik bersempena 30 tahun usia pembabitan seni saya. Album ini pastinya menjadi 'collectable item' untuk peminat saya," katanya.

Berita Harian X