Jumaat, 13 November 2015 | 3:28pm

`Siti Nurhaliza akan umum sendiri'

PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza. - Foto Nikf Hariff Hassan
PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza. - Foto Nikf Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Nampaknya cerita sama ada Datuk Siti Nurhaliza sudah berbadan dua atau sebaliknya terus menjadi tanda tanya ramai.

Bermula dengan muat naik gambarnya mengenai susu kambing dan kurma di akaun laman Instagram miliknya yang disifatkan sebagai antara kombinasi terbaik bagi ibu mengandung, mencetus tanda tanya.

Apakah selepas sembilan tahun berkahwin dengan ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, penyanyi nombor satu tanah air itu sebenarnya sudah hamil anak sulungnya?

Saat ini juga ada yang mengesahkan bahawa Siti sudah hamil menurut sumber tertentu. Bagaimanapun daripada empunya diri, semua itu belum ada pengesahan.

Siti sebelum ini mengakui belum bersedia berkongsi berita kehamilan yang diharapkan ramai pada masa ini secara terbuka.

Mungkin juga masih terlalu awal untuk Siti mengulas lanjut kerana selalunya pada awal kandungan ramai ibu mengandung tak digalakkan bercerita kerana bimbang apa sahaja kemungkinan yang boleh terjadi.

Pengurus Siti, Rozi Abdul Razak di laman sosialnya turut menulis status mengenai isu hamil itu.

"Sebagaimana hujung minggu lepas, telefon dan mesej kembali bertalu-talu saban hari. Saya memahami dan menghormati semua pihak. Saya jalankan tugas sebagaimana yang boss (merujuk kepada Siti) pinta.

"Dalam kenyataan boss saya sebelum ini, biarlah segala-galanya beliau umumkan sendiri jika sampai masanya nanti.

"Itu kenyataan beliau pada hujung minggu lalu dan kekal hingga hari ini. Jika ada berita atau sumber, itu lain.

"Beliau akan umumkan sendiri bila tiba masa yang sesuai. Buat masa ini, itulah permintaan beliau. Terima kasih kepada semua yang mendoakan," kata Rozi.

Siti dalam kenyataannya sebelum ini berharap doa yang baik daripada semua mengenai cerita kehamilan itu.

"Tetapi jika itu doa (hamil) yang baik daripada semua, Siti harap supaya semua mendoakan ia menjadi kenyataan.

"Ikutkan sebelum ini Siti ada berkongsi mengenai gambar susu kambing dan kurma di laman sosial. Pastinya saya akan berkongsi berita baik.

"Saya tak akan berselindung apa saja berita baik. InsyaAllah," katanya kepada BH Online.

Berita Harian X