Ahad, 10 Januari 2016 | 2:07pm
DARI kiri, Zizan Razak dan Tania Hudson pada Majlis Pelancaran Filem Abang Long Fadil 2 di Restoran Haslam Jalan Pahang, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali
DARI kiri, Zizan Razak dan Tania Hudson pada Majlis Pelancaran Filem Abang Long Fadil 2 di Restoran Haslam Jalan Pahang, Kuala Lumpur. - Foto Shiraz Ali

Tania Hudson tak tahan usikan Zizan Razak

KUALA LUMPUR 27 December 2015. Pelakon, Tania Hudson pada Borak Lokasi Filem Abang Long Fadil 2 yang diadakan di Bandar Sultan Suleiman, Port Klang. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din
KUALA LUMPUR 27 December 2015. Pelakon, Tania Hudson pada Borak Lokasi Filem Abang Long Fadil 2 yang diadakan di Bandar Sultan Suleiman, Port Klang. NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

KUALA LUMPUR: Pertama kali berganding dengan pelakon dan pelawak terkenal, Zizan Razak dalam layar perak, Tania Hudson memberitahu, mereka cuba mencari keserasian ketika sama-sama membintangi filem Abang Long Fadil 2 arahan Syafiq Yusof.

Ketika dihubungi BH Online, adik kepada Natasha Hudson ini memberitahu, komitmen dirinya dan slot penggambaran dalam filem terbabit sudah selesai.

"Berlakon bersama Zizan amat menyenangkan biarpun pada asalnya saya sangat gementar.

"Dalam filem ini, saya memegang watak sebagai wartawan jenayah bernama Yana yang cuba membersihkan nama Fadil lakonan Zizan.

"Secara keseluruhannya, banyak babak yang saya lakonkan dengan Zizan. Selain itu, saya juga ada babak dengan Achey Bocey yang memegang watak jurugambar," katanya ketika dihubungi BH Online.

Tania berkata, Zizan sangat profesional dan banyak memberi tunjuk ajar kepadanya.

"Biarpun pertama kali berlakon sama, kami cuba mewujudkan keserasian. Disebabkan Zizan ini terkenal dengan sikap lawaknya, memang saya banyak bergelak ketawa kerana tak tahan dengan usikannya," katanya.

Memulakan penggambaran sejak November lalu di sekitar ibu negara, si putih gebu berdarah campuran itu hanya menunggu reaksi penonton apabila filem Abang Long Fadil 2 ditayangkan.

Filem itu turut menampilkan Datuk AC Mizal, Wak Doyok, A Galak dan Syamsul Yusof.

Abang Long Fadil 2 menjadi buah tangan terbaru Tania selepas membintangi filem Balistik bersama Datuk Rosyam Nor, Adi Putra dan Rita Rudaini pada tahun 2014.

Mengintai sisi kerjayanya, Tania menyedari fasa seninya tidak konsisten hingga membuatkan namanya kurang dikenali.

Memulakan langkah dalam bidang lakonan pada tahun 2009, sebelum ini kecoh apabila Tania mengumumkan dia menghidap penyakit Arteriovenous Malformation (AVM) iaitu pengumpulan saluran darah secara tidak normal dalam otak.

"Tak dinafikan penyakit itu banyak memperlahankan rentak seni saya. Apabila nama nak naik dan saya mula nak menyinar, saya diuji dengan hal sebegini. Saya reda dan pasrah.

"Tapi, alhamdulillah, saya sudah pulih daripada penyakit itu sepenuhnya. Saya nak habis-habisan berlakon pada tahun ini. Saya harap filem Abang Long Fadil 2 akan menjadi batu loncatan untuk saya kembali menyinar di persada seni," katanya.

Berita Harian X