Jumaat, 12 Februari 2016 | 2:29pm

Haziq Hot FM akhiri zaman bujang Julai ini

PENYAMPAI radio Hot FM, Haziq.
PENYAMPAI radio Hot FM, Haziq.

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Haziq, bakal mengahwini gadis berasal dari Medan, Indonesia, Ayunda Putri, 26, pada Julai ini.

Haziq atau nama penuhnya Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni, 26, bertunang dengan pegawai bank itu pada 18 Oktober tahun lalu.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kami dapat membuktikan tidak semua hubungan cinta jarak jauh kecundang di tengah jalan. Biarpun terpisah beribu batu, apa yang paling penting adalah kepercayaan dalam hubungan.

"Ada pihak mempertikaikan keputusan saya mendirikan rumah tangga ketika kerjaya penyampai radio baharu bermula, tetapi saya pasti jodoh dan rezeki Allah sudah tertulis dengan sebaik-baiknya.

"Tiada bibit cinta antara kami kerana daripada sahabat karib, saya menyuarakan hasrat untuk melamar Putri menjadi isteri. Syukur kerana niat suci saya diterima Putri, yang turut berkongsi perasan sama," katanya kepada BH Online.

Bekas ahli HotFM Zoomerz itu berkata, perkenalan mereka terjalin ketika sama-sama menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota.

Akuinya, paling utama tunangnya itu memahami kerjaya beliau sebagai penyampai radio.

 Penyampai radio Hot FM, Haziq bakal mengahwini gadis berasal dari Medan, Indonesia, Ayunda Putri,26, pada Julai ini.
Penyampai radio Hot FM, Haziq bakal mengahwini gadis berasal dari Medan, Indonesia, Ayunda Putri,26, pada Julai ini.

"Bukan mudah untuk semua gadis menerima kerjaya saya ini kerana sibuk di konti. Pada masa sama, saya juga berjinak-jinak dalam bidang pengacaraan.

"Sudah pasti kepercayaan yang diberikan Putri tidak akan saya sia-siakan. Walau apa sekali pun, saya sedar status saya sebagai tunang orang. Saya sentiasa menjaga pergaulan, malah tidak sabar bertukar status sebagai suami orang beberapa bulan saja lagi," kata Haziq.

Haziq kini bergandingan bersama Liza dan Deen untuk Hot FM Jam dari jam 4 petang sehingga 8 malam pada setiap Isnin hingga Jumaat.

Selain itu, Haziq turut diberikan tanggungjawab mengacarakan program Kaki Bola untuk saluran TV9 bersama Deen Hot FM, Shiha Zikir dan Diana Rusdi.

Berita Harian X