Jumaat, 19 Februari 2016 | 7:04pm

Shukri Yahaya mahu anak lelaki

PELAKON, Shukri Yahaya (kiri) bersama pemilik Furby & Sugar, Januar Haikal di majlis pelancaran T-Shirt, Furby & Sugar di Butik Furby & Sugar, Sekseyn 16, Shah Alam. - foto Halimaton Saadiah Sulaiman
PELAKON, Shukri Yahaya (kiri) bersama pemilik Furby & Sugar, Januar Haikal di majlis pelancaran T-Shirt, Furby & Sugar di Butik Furby & Sugar, Sekseyn 16, Shah Alam. - foto Halimaton Saadiah Sulaiman

KUALA LUMPUR: Sebagai bakal bapa, pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian, Asam Pedas Untuk Dia, Shukri Yahaya berharap kandungan isterinya, Tya Adnan yang kini mencecah tiga bulan akan dilindungi Allah untuk mereka merasai nikmat menimang cahaya mata.

Shukri yang mengakui teruja apabila mendapat tahu isterinya hamil pada Disember lalu berkata, pelbagai rasa menyelubungi dirinya apabila menerima berita gembira itu namun bersedia menggalas amanah besar yang diberikan Allah itu.

Sentiasa berdoa supaya semua urusan menjelang detik bermakna untuk dirinya dan isteri dipermudahkan, Shukri mengimpikan dikurniakan cahaya mata lelaki sebagai penyeri rumah tangga yang dibina pada 20 November lalu.

"Jika diberikan Allah keizinan, saya ingin sekali menimang anak lelaki sebagai cahaya mata pertama. Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu memikirkan soal itu dan hanya berserah kepada Allah.

"Tidak kisah sama ada lelaki atau perempuan, saya berharap semua urusan menjelang detik kelahiran anak kami dipermudahkan. Saya sentiasa berdoa supaya semuanya selamat. Itu lebih penting," katanya.

Beralih mengenai namanya yang tersenarai dalam 20 calon awal kategori Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 29, biarpun ramai meramalkan potensi besar yang dimilikinya untuk membolosi Top 5, Shukri enggan meletak harapan terlalu tinggi.

Melihat saingan awal yang didomionasi nama besar seperti Aaron Aziz, Zul Ariffin, Syarul Ridzwan, Adi Putra dan Sharnaaz Ahmad, Shukri menyerahkan kepada kebijaksanaan peminat untuk menentukan siapa antara mereka yang akan layak meneruskan perjuangan dalam ABPBH29.

"Saya bersyukur apabila masih dicalonkan. Saya tidak mahu membebankan diri dengan memikirkan sama ada mampu atau tidak membolosi Top 5. Jika ada rezeki, Alhamdulillah. Saya tidak mahu meletak harapan tinggi melangit kerana bimbang akan kecewa apabila gagal," katanya.

Dalam perkembangan lain, Shukri juga menjalin kerjasama dengan jenama pakaian lelaki, Furby and Sugar milik Januar Haikal dengan melancarkan koleksi Furby and Sugar X Shukri Yahya, baru-baru ini.

"Saya memang menggemari rekaan jenama itu dan tidak sangka, mereka menawarkan peluang untuk bekerjasama. Bagi saya, ia satu penghormatan kerana pembabitan ini secara tidak langsung membantu memperluaskan lagi jenama produk tempatan," katanya.

Berita Harian X