Sabtu, 27 Februari 2016 | 6:16pm

Che Ta laris bagi ceramah keusahawanan

CHE Ta (kanan) ketika menjawab soalan moderator, Ahmad Izlan Idris (kiri) pada program Bicara Usahawan sempena Sambutan 50 Tahun MARA Peringkat Negeri Selangor di Anggerik Mall, Shah Alam, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
CHE Ta (kanan) ketika menjawab soalan moderator, Ahmad Izlan Idris (kiri) pada program Bicara Usahawan sempena Sambutan 50 Tahun MARA Peringkat Negeri Selangor di Anggerik Mall, Shah Alam, hari ini. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

SHAH ALAM: Memulakan perniagaan dengan menghasilkan tudung dan jubah pada tahun 2014, seterusnya memperluaskan lagi empayar dengan melancarkan wangian di bawah jenamanya sendiri, pelakon jelita, Rozita Che Wan semakin mengukuhkan posisinya dalam bidang itu.

Meskipun usia pembabitannya sebagai ahli perniagaan masih mentah, kecemerlangannya dalam memasarkan setiap produk yang dihasilkan membuatkan wanita yang mesra dengan panggilan Che Ta ini sering menerima tawaran sebagai penceramah keusahawanan.

"Diikutkan pengalaman saya dalam perniagaan belum meluas. Ketika dijemput memberi ceramah, saya hanya berkongsi perjalanan yang saya lalui dalam menguruskan perniagaan.

"Dalam perkongsian itu, dapat juga saya menimba ilmu baharu untuk dimanfaatkan bagi mengembangkan perniagaan sendiri," katanya pada program Bicara Usahawan sempena Sambutan 50 Tahun MARA Peringkat Negeri Selangor di Anggerik Mall, di sini, petang ini.

Kata pelakon yang terkenal menerusi drama Cik Kiah Pekasam itu, bidang perniagaan kini menjadi keutamaannya meskipun kerjaya sebagai anak seni masih berjalan seperti biasa.

Che Ta bagaimanapun membataskan pembabitannya dalam lakonan apabila lebih selektif terhadap tawaran yang diterimanya.

"Apabila memulakan perniagaan, saya enggan menoleh ke belakang lagi. Fokus saya sekarang lebih banyak kepada perniagaan berbanding lakonan.

"Apabila terikat dengan jadual penggambaran, saya tidak mempunyai banyak masa untuk menguruskan perniagaan. Tetapi saya bertuah kerana mempunyai ahli keluarga dan pekerja yang boleh dipercayai untuk memantau perniagaan.

"Jika tidak terikat dengan jadual seni, walaupun hanya di rumah, saya akan berikan fokus kepada perniagaan dan melihat perkembangannya," katanya.

Berita Harian X