Rabu, 9 March 2016 | 5:49pm

Sam Bunkface bakal jadi bapa

SAM dan isteri, Aida Azira Husin. - Foto ihsan Instagram Sam Bunkface
SAM dan isteri, Aida Azira Husin. - Foto ihsan Instagram Sam Bunkface

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Bunkface, Sam, berkongsi berita gembira apabila mengumumkan beliau kini bakal menjadi bapa.

Menurut pemilik nama penuh Shamsul Annuar Mohd Baharom ini, jika semuanya dipermudahkan, isterinya, Aida Azira Husin, bakal melahirkan anak sulung mereka pada September depan.

"Sekarang Aida sedang hamil tiga bulan. Perasaan saya sudah tentu seronok dan teruja kerana selepas hampir setahun menunggu, akhirnya saya bakal dikurniakan cahaya mata.

"Setakat ini isteri saya tidak mengalami alahan teruk. Setakat muntah-muntah itu adalah perkara biasa.

"Kami bagaimanapun belum mengetahui jantina anak dalam kandungan. Saya pula tidak kisah berhubung jantina bayi, asalkan dia sihat dan sempurna," katanya ketika ditemui BH Online pada majlis penyampaian Dividen Koperasi Amanah Pelaburan Berhad 2015 di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sam turut menerima unit saham bernilai RM1,000 daripada Koperasi berkenaan bersama-sama peserta program Juara Parodi lain, seperti kumpulan Zero dan juga juri rancangan berkenaan, Datuk Zainal Abidin.

Ditanya mengenai persediaan dilakukan untuk menjaga isteri yang sedang hamil, penyanyi berusia 28 ini berkata, beliau hanya mengikut apa saja yang disarankan oleh doktor.

"Saya ada juga membaca buku mengenai keibubapaan, tetapi saya lebih suka mengikut apa yang disarankan doktor. Kalau ikutkan pesanan kawan-kawan, rata-rata mereka berkongsi banyak pantang-larang. Itu tak boleh makan, ini tak bagus.

"Tetapi apabila saya merujuk kepada doktor, mereka tidak sekat pun. Cuma, kata mereka, kalau hendak makan, janganlah terlalu banyak," katanya.

Mengenai pemilihan nama anak, dalam nada bergurau lelaki berdarah kacukan Melayu-Inggeris ini berkata, beliau sukar untuk berbuat demikian kerana kebanyakan yang disukai mereka sudah pun dipilih orang lain.

"Saya belum memilih sebarang nama lagi kerana rasanya masih terlalu awal untuk berbuat demikian," ujarnya.

Sam dan Aida selamat bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan pada 25 April tahun lalu.

Berita Harian X