Khamis, 31 March 2016 | 12:03am
INSTAGRAM @prelovedctdk11.
INSTAGRAM @prelovedctdk11.

Siti Nurhaliza jual baju disimpan 20 tahun lalu

PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza. - Foto Adi Safri
PENYANYI, Datuk Siti Nurhaliza. - Foto Adi Safri

KUALA LUMPUR: Keadaan bilik dan almari yang terlalu padat membuatkan Datuk Siti Nurhaliza mengambil langkah menjual koleksi baju lamanya menerusi Instagram @prelovedctdk11.

Siti atau nama sebenarnya Siti Nurhaliza Tarudin, 37, berkata kebanyakan baju terpakai berkenaan disimpan sejak 20 tahun lalu dan memandangkan kualitinya masih elok, beliau mula menjual pakaian berkenaan pada awal Mac lalu.

"Saya terpaksa mengasingkan baju yang tak lagi dipakai atau tidak muat di badan kerana perlu mengosongkan bilik pakaian untuk koleksi baharu.

"Memandangkan kualitinya masih elok, saya bercadang menjual baju-baju berkenaan. Lagipun, ia hanya dipakai sekali atau dua ketika menghadiri majlis tertentu.

"Malah, kebanyakan baju berkenaan adalah yang disimpan sejak 20 tahun lalu," katanya kepada BH Online.

Tambah Siti, baju 'preloved' terbabit adalah rekaan pereka fesyen tersohor dan dijual dengan harga bermula RM100 sehingga RM500.

Siti juga memberitahu, beliau memuat naik kira-kira 15 gambar baju terbabit di Instagram pada setiap minggu dan bersyukur apabila mendapat sambutan baik daripada peminat, sebagai koleksi simpanan mereka.

"Alhamdulillah, maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Malah, ramai peminat yang bertanyakan mengenai stok baharu dan sebahagiannya pula mahu saya memperbanyakkan baju kasual.

"Ada juga di kalangan yang membeli itu bukan daripada kalangan peminat, tetapi mereka mahu mendapatkan baju saya untuk menghadiri majlis bersesuaian," ujarnya.

Bagaimanapun kata Siti, beliau tidak mahu memuat naik terlalu banyak gambar pada satu-satu masa agar penjualannya dapat dikawal.

Berita Harian X