Ahad, 1 Mei 2016 | 4:57pm

Hafiz Suip bakal jadi suami 14 Mei

PENYANYI, Hafiz Suip bersama tunang, Nureffy Jesreel Abdullah.
PENYANYI, Hafiz Suip bersama tunang, Nureffy Jesreel Abdullah.

KUALA LUMPUR: Kurang dua minggu lagi, penyanyi, Hafiz Suip akan melangkah ke gerbang perkahwinan bersama tunang, Nureffy Jesreel Abdullah.

Pasangan terbabit memilih 14 Mei ini untuk diijab kabul sebagai suami-isteri selepas melangsungkan pertunangan pada Februari tahun lalu, di Kuching, Sarawak.

Keesokannya, Hafiz dan Nurefy atau Effy akan diraikan dalam sebuah majlis resepsi. Kedua-dua majlis akan diadakan di Kuching.

Menurut Juara Akademi Fantasia musim ketujuh itu, persiapan majlis hari bahagianya sudah pun siap hampir 70 peratus.

HAFIZ Suip dan Effy nikah 14 Mei ini di Kuching.
HAFIZ Suip dan Effy nikah 14 Mei ini di Kuching.

"Semakin dekat dengan hari perkahwinan, semakin saya berasa gementar. Pada masa sama, macam-macam cabaran yang datang. Bagaimanapun saya anggap ia perkara biasa dilalui bakal suami seperti saya.

"Apabila bertemu sesiapa pun, andainya soal kahwin yang dibicarakan, ia menambah tekanan. Apapun, saya sudah bersedia memikul tanggungjawab ini. Diharapkan, apa yang dirancang kelak akan berjalan lancar. Insya-Allah," katanya yang sudah pun berada di Kuching ketika dihubungi.

Mengenai perancangan mengadakan majlis di ibu kota, Hafiz tidak dapat memberikan sebarang kata putus mengenainya.

"Memang ada keinginan ke arah itu, tetapi saya tidak dapat mengesahkan perkara yang belum pasti," katanya.

Menurut Hafiz, beliau dan Effy menjalinkan persahabatan sejak lima tahun lalu ketika dirinya belum mencipta nama sebagai penyanyi. Hafiz juga berkata dirinya tertarik dengan Effy kerana gadis itu lemah lembut, matang dan menghormati orang tua.

Berita Harian X