Ahad, 29 Mei 2016 | 8:50pm

17 syarikat produksi terima insentif FINAS

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (duduk tengah) bersama seniman di majlis sambutan Hari Seniman 2016 di FINAS Ulu Kelang. - Foto Zunnur Al Shafiq
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak (duduk tengah) bersama seniman di majlis sambutan Hari Seniman 2016 di FINAS Ulu Kelang. - Foto Zunnur Al Shafiq

ULU KLANG: Sebanyak 17 syarikat produksi perfileman tempatan menerima dana bernilai RM2.83 juta sebagai ganjaran atas kejayaan 27 filem terbitan mereka yang mendapat kutipan pecah panggung sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Kamil Othman, berkata dana yang disalurkan di bawah Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC) itu diberikan bagi membolehkan penerbit meneruskan usaha menghasilkan filem yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

"Jumlah yang diberikan adalah 10 peratus daripada keuntungan kasar yang diperoleh. Bagaimanapun, jumlah itu tidak melebihi RM500,000.

"Ini bagi membolehkan penerbit meneruskan usaha menghasilkan filem, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada banyak pihak terutama mereka yang terbabit dalam bidang ini secara keseluruhan," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Hari Seniman 2016 yang diadakan di Pawagam Mini P Ramlee, FINAS, petang tadi.

Majlis penyerahan ITFC itu disempurnakan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Antara produksi yang menerima insentif itu adalah Primeworks Studios Sdn Bhd (Rembat, Girlfriend Kontrak, Love Supermoon) Astro Shaw Sdn Bhd (Polis EVO, Manisnya Cinta Di Cappadocia, Suamiku Encik Perfect 10, Pilot Cafe, Legenda Budak Setan 3, Terbaik Dari Langit dan Maindhan), dan KRU Studios (Cicakman 3).

Turut menerima adalah Skop Productions Sdn Bhd (Villa Nabila), Suhan Movies & Tradings Sdn Bhd (Isyarat Cinta) dan Tayangan Unggul Sdn Bhd (Mana Mau Lari? dan Amir Loqman Pergi Ke Laut).

Berita Harian X