Khamis, 9 Jun 2016 | 4:28pm

Teruja dapat berbuka dengan keluarga, Abam lupa beli kurma

ABAM berkongsi keterujaan berbuka bersama keluarga pada hari pertama puasa. - Foto Nik Hariff Hassan
ABAM berkongsi keterujaan berbuka bersama keluarga pada hari pertama puasa. - Foto Nik Hariff Hassan

KUALA LUMPUR: Pelawak, Abam Bocey berkongsi keterujaan berbuka bersama keluarga pada hari pertama puasa sehingga terlupa membeli kurma.

Menurut Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 27, menjadi tradisi keluarganya untuk berkumpul berbuka puasa pada hari pertama Ramadan.

Suasana meriah dapat berhimpun dan sama-sama menjamah juadah iftar bersama ahli keluarga pula amat bermakna buat dirinya.

"Hendak dijadikan cerita, saya dan adik-beradik lain sibuk membeli pelbagai juadah berbuka puasa sehingga terlupa mengenai kurma. Pada puasa kedua baharu kami sekeluarga dapat berbuka dengan menjamah makanan sunnah nabi itu.

"Puasa pertama pada tahun ini agak kelam kabut kerana saya masih menjalani penggambaran sebuah program pada malam sebelumnya," akui Artis Komedi Popular, Anugerah Bintang Popular BH ke-29 ini.

Kata pelawak itu juga, beliau memilih untuk memperlahankan kerjaya seni sepanjang bulan puasa kerana ingin berbuka bersama keluarga.

"Kalau boleh, saya ingin memperuntukkan lebih banyak masa bersama ibu untuk berbuka bersama-sama. Maklumlah, tahun sebelum ini saya sibuk dengan kerja.

"Saya hanya akan kembali bekerja pada pertengahan Ramadan nanti, dengan menjayakan Kelab Komedi untuk saluran TV9," katanya kepada BH Online.

Ahli kumpulan Bocey itu turut bercerita mengenai hasratnya untuk mendirikan rumah tangga. Beberapa bulan lalu, beliau pernah mendedahkan dirinya sedang berkawan dengan seorang gadis dari Sabah yang menetap di Semenanjung.

"Semestinya saya mempunyai perancangan untuk berkahwin dalam tempoh terdekat, namun sebelum itu saya ingin membawa ibu saya menunaikan umrah terlebih dulu. Selepas tertunai hajat itu, baharulah saya akan memikirkan soal perkahwinan," kata Abam.

Berita Harian X