Isnin, 4 Julai 2016 | 1:02pm

Juliana Evans teruja sambut hari jadi sehari sebelum Syawal

SEHARI sebelum Aidilfitri, Jue bakal meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-27. - Foto Aziah Azmee
SEHARI sebelum Aidilfitri, Jue bakal meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-27. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Syawal kali ini bagai menjanjikan 1,001 keseronokan kepada pelakon, Juliana Evans atau mesra disapa Jue.

Mengapa tidak, selepas sekian lama tidak beraya di Kuala Lumpur, tahun ini, Jue dan keluarga akan meraikan hari kemenangan di ibu negara.

Tambah mengujakan hatinya, sehari sebelum Aidilfitri, Jue bakal meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-27.

"Pada hari terakhir kita berpuasa iaitu esok, saya akan menyambut hari jadi yang ke-27. Jadi boleh dikatakan sambutan raya berganda tahun ini.

"Apatah lagi kali ini saya beraya di Kuala Lumpur, tentu seronok dapat beraya dengan teman-teman," katanya kepada BH Online.

Jue yang berdarah kacukan memberitahu, lazimnya, dia dan keluarga akan menyambut lebaran di Bagan Datoh, Perak.

Mengenai persiapan Aidilfitri, Jue berkata, dia sudah ada beberapa pasang baju raya termasuk daripada koleksi pereka fesyen, Alia Bastamam.

Jue menjadi wajah bagi mempromosikan koleksi rayanya bersama Izara Aishah dan Tiz Zaqyah.

Dalam pada itu, artis naungan Uprising Entertainment ini akan 'terbang' ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada raya ketiga atau keempat bagi menjalani penggambaran di sana selain berjumpa pengurus dan teman.

"Ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan termasuk perancangan projek masa depan.

"Sekembalinya ke Malaysia selepas 10 hari, saya perlu menghafal skrip bagi projek filem arahan Kabir Bhatia," katanya yang tidak berahsia bakal meraikan Syawal bersama cinta hati iaitu seorang jejaka berdarah kerabat Diraja.

Berita Harian X