Selasa, 12 Julai 2016 | 9:37am

Taylor Swift kumpul pendapatan AS$170 juta

GAMBAR fail penyanyi Taylor Swift memperagakan trofi yang dimenanginya pada Anugerah GRAMMY pada 15 Februari, 2016 di Los Angeles, California. - Foto AFP
GAMBAR fail penyanyi Taylor Swift memperagakan trofi yang dimenanginya pada Anugerah GRAMMY pada 15 Februari, 2016 di Los Angeles, California. - Foto AFP

NEW YORK: Pada usia 26 tahun, penyanyi Taylor Swift, menjadi selebriti yang memperoleh bayaran tertinggi dunia, mengumpul AS$170 juta (RM679 juta) tahun lalu, menurut majalah Forbes.

Pendapatan diva pop itu daripada Jun 2015 hingga Jun 2016 adalah yang tertinggi keseluruhan kerjayanya, lapor majalah itu, lebih dua kali ganda daripada rekod sebelumnya sebanyak AS$80 juta (RM319 juta).

Swift mengatasi pemuzik terkenal lain termasuk Adele yang mendapat AS$80.5 juta (RM321 juta), Madonna AS$76.5 juta (RM305 juta), Rihanna AS$75 juta (RM299 juta) dan Bruce Springsteen AS$60.5 juta (RM241 juta).

Penyanyi 'Shake Off' itu juga mengatasi pencabarnya, Katy Perry, yang menjadi pemuzik paling kaya tahun lalu dengan AS$135 juta (RM539 juta), menurut senarai tahunan 100 selebriti berpendapatan paling tinggi Forbes.

Perry jatuh ke tangga 63 tahun ini, dengan pendapatan AS$41 juta (RM163 juta).

Pendapatan lumayan Swift diperoleh menerusi konsert '1989 World Tour' yang menyaksikan beliau memecahkan rekod Rolling Stone di Amerika Utara, memperoleh AS$200 juta (RM799 juta) di benua itu dalam perjalanan menjana pendapatan suku bilion di seluruh dunia.

Berada di tangga kedua dalam senarai tahun ini adalah kumpulan One Direction dengan AS$110 juta (RM439 juta) diikuti penulis James Patterson (RM379 juta). - AFP

Berita Harian X