Selasa, 12 Julai 2016 | 2:50pm

Hafiz Suip idam mi kolok pada hari raya

KUALA LUMPUR : Penyanyi Hafiz Suip, 25, berkata, sambutan 1 Syawal lalu lebih bermakna apabila berpeluang memperkenalkan isterinya, Nureffy Jasreel Abdullah atau Effy kepada saudara mara yang tidak berkesempatan menghadiri majlis perkahwinannya.

Hafiz yang menyambut hari raya di tanah kelahirannya di Kuching, Sarawak mengakui, 1 Syawal lalu memberinya pengalaman baharu apabila buat kali pertama meraikannya sebagai suami.

"Jika dahulu, saya hanya memikirkan mengenai diri dan keluarga, tetapi kini saya harus bijak membahagikan tumpuan kerana saya juga mempunyai tanggungjawab terhadap isteri. Banyak perkara baharu yang saya pelajari selepas hampir dua bulan mendirikan rumah tangga.

"Pada 1 Syawal lalu, saya dan isteri menggayakan pakaian sedondon berwarna merah jambu mengikut tema keluarga saya. Biru pula menjadi pilihan kami ketika beraya bersama keluarga Effy pada hari raya kedua.

"Tiada masalah untuk mengikut giliran beraya kerana keluarga saya dan isteri tinggal berdekatan. Lucu rasanya kerana ketika ramai mencari rendang dan lemang, saya pula teringin makan mi kolok," katanya.

Hafiz dan Effy selamat diijabkabulkan pada 14 Mei lalu di kediaman pengantin perempuan yang terletak di Taman Matang Jaya, Kuching, Sarawak.

Mengulas mengenai perkembangan kerjaya, penyanyi lagu Bahagiamu Deritaku itu bakal berangkat ke Australia bersama isterinya bagi menjayakan rakaman program Romantika.

Hafiz juga berhasrat kembali memberikan tumpuan kepada kerjaya seni untuk mempromosikan single terbaharunya berjudul Andai yang dicipta khas untuk isterinya.

Berita Harian X