X
Rabu, 13 Julai 2016 | 11:33am

Kami tidak pernah hidup merempat - Sazali P Ramlee

SAZALI P Ramlee. - Foto Rosela Ismail
SAZALI P Ramlee. - Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: "Selama saya lahir hingga ayah meninggal (dunia) ketika usia saya 15 tahun, belum pernah kami miskin atau tidak makan," kata anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, mengulas kenyataan kontroversi penerbit filem, David Teo.

Katanya, sebagai anak sudah pasti beliau sedih apabila bapanya yang sudah tiada dilemparkan dengan penghinaan seolah-olah merendahkan imej Seniman Agung itu, sekali gus dirasakan seperti mahu menjatuhkan martabat bangsa Melayu.

Walaupun memaafkan keterlanjuran kata penerbit berkenaan, Sazali berharap Teo dapat menziarah sendiri pusara Seniman Agung terbabit untuk memohon kemaafan.

Kehidupan sempurna

"Kakak angkat saya, Dian, ada memaklumkan kepada saya David (Teo) menghubunginya bagi meminta maaf. Bagi saya, anak arwah yang masih hidup tentu tiada masalah memberi kemaafan, tetapi bagaimana dengan bapa saya? Rasanya lebih bagus kalau dia sendiri ke kubur P Ramlee.

"Buat pengetahuan semua, sepanjang saya tinggal dengan bapa, kami anak-beranak diberi kehidupan yang sangat sempurna. Cukup makan pakai, malah bapa saya juga sentiasa menghulur bantuan kepada orang lain yang meminta pertolongan daripadanya tanpa mengharapkan sebarang balasan," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.

Terdahulu, Khamis lalu menerusi ruangan hiburan Malay Mail Online, David yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Metrowealth Pictures berkongsi komitmen syarikatnya dalam membimbing pelakon mengembangkan bakat hingga mampu bergelar jutawan.

Bangkit kemarahan

Namun, tindakannya memetik nama seniman pelbagai bakat itu sebagai contoh pelakon yang merempat pada usia tua membangkitkan kemarahan dan menjadi kecaman orang ramai dan penggiat seni.

Berita Harian X