Khamis, 14 Julai 2016 | 12:53pm

Haziq Hot FM tak mahu lafaz akad banyak kali

PENYAMPAI Hot FM, Haziq. - Foto Munira Abdul Ghani
PENYAMPAI Hot FM, Haziq. - Foto Munira Abdul Ghani

KUALA LUMPUR: Penyampai radio Hot FM, Haziq berharap dirinya dapat mengungkapkan akad dengan sekali lafaz saja dalam majlis ijab kabul yang bakal berlangsung, esok.

Mengakui berdebar menunggu saat bersejarah dalam hidupnya itu, personaliti terbabit bakal bernikah dengan tunangnya yang berasal dari Medan, Indonesia, Ayunda Putri, 26.

Haziq atau nama penuhnya Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni, 26, pada masa sama berharap segala perancangan untuk majlis berkenaan berjalan dengan lancar dan dirinya sendiri tidak dilanda rasa gemuruh.

"Tidak sangka saya bakal bergelar suami dalam tempoh beberapa jam saja lagi setelah menempuhi pelbagai cabaran dan dugaan sepanjang proses bertunang. Diharapkan segala yang dirancang akan berjalan lancar.

"Alhamdulillah, persiapan perkahwinan dipermudahkan sejak pada hari pertama kami melakukannya lagi. Ujian yang melanda pula menjadikan kami berdua lebih matang dan tenang.

"Berdebar-debar rasanya menanti pagi esok dan saya berharap akan sah bergelar suami dengan sekali lafaz saja. Saya meminta semua pihak mendoakan kelancaran majlis nikah yang bakal berlangsung," kata Haziq.

Haziq bertunang dengan pegawai bank itu pada 18 Oktober tahun lalu. Pasangan itu mula berkenalan ketika sama-sama menuntut di sebuah kolej swasta di ibu kota.

Haziq kini bergandingan bersama Ajak Shiro dan Fizie mengendalikan slot pagi Hot FM dari jam 6 sehingga 10 pagi pada, setiap Isnin hingga Jumaat.

Berita Harian X