X
Sabtu, 23 Julai 2016 | 4:51pm

Tiket konsert mini Tomok habis selepas 3 jam

 PENYANYI Tomok
PENYANYI Tomok

KUALA LUMPUR: Selepas tiga jam mempromosikan konsert mini eksklusifnya melalui laman sosial, kelmarin, penyanyi Tomok terkejut semua 100 tiket habis 'disambar' peminat.

Tomok tidak menyangka peminat memberi reaksi positif terhadap konsert 'Tomok Akustik' yang akan berlangsung di Suka Sucre Bistro di Cheras, pada 13 Ogos depan.

Tomok atau nama sebenarnya, Shah Indrawan Ismail, 32, teruja persembahan mini yang menampilkan lagu kumpulan New Boyz menarik perhatian ramai.

"Sayang sekali lokasi persembahan hanya mampu memuatkan 100 orang.

"Saya merancang mengadakan persembahan ini kira-kira dua minggu lalu. Disebabkan ia dianjurkan sendiri, saya tak berani mengadakannya dalam skala besar.

"Konsert mini ini bagi memenuhi permintaan peminat yang merindui lagu New Boyz. Saya fikir, biarlah saya buat kecil-kecilan dulu kerana bimbang tiada sambutan," katanya kepada BH Online.

Tomok berkata, anggota band New Boyz akan datang memberi sokongan dan mempersembahkan dua lagu bersama.

Tambahnya, konsert mini itu menjadi projek perintis di mana ia akan dirakamkan dengan tujuan mencari penaja bagi menganjurkan konsert lebih besar pada masa depan.

"Konsert mini ini berkonsepkan santai dan mesra peminat...Ini baru langkah pertama.

"InsyaAllah selepas ini konsert bersama ahli New Boyz pula. Jika diizinkan Allah, saya mahu mengadakan konsert berskala besar dan pasti ramai peminat boleh hadir," katanya.

Dalam konsert mini itu, Tomok bakal membawa lagu-lagu popular New Boyz seperti Sejarah Mungkin Berulang, Andainya Kau Terima, Sejarah Cinta Kita dan Hiasan DI Laman Rindu.

New Boyz 'meledak' selepas album pertama mereka, Sejarah Mungkin Berulang, dilancarkan pada tahun 1999.

Selain Tomok, band itu dianggotai Zack atau nama sebenarnya, Radin Irwan Dzulkarnain Isagani; Afiez (Hafeez As'ad Azam) dan Ristoe (Wan Muzaffar).

Berita Harian X