Khamis, 4 Ogos 2016 | 5:22pm

SENIMAN buat laporan polis terhadap Namewee

ZED Zaidi (hadapan tiga kanan) menyerahkan salinan laporan polis terhadap Namewee (gambar kecil) kepada Jamawi (hadapan empat kanan) di FINAS. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
ZED Zaidi (hadapan tiga kanan) menyerahkan salinan laporan polis terhadap Namewee (gambar kecil) kepada Jamawi (hadapan empat kanan) di FINAS. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) membuat laporan polis berhubung tindakan Namewee yang sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila lelaki itu memuatnaik video lagu Oh My God yang didakwa menghina agama Islam.

Klip selama 4.05 minit itu turut menampilkan sebuah kumpulan lelaki dari Taiwan dikenali sebagai Nine-One-One.

Presiden SENIMAN, Zed Zaidi, berkata tindakan Namewee mencemarkan agama Islam dan mencalarkan imej negara di mata dunia.

"Tindakan biadap dan tidak beretika Namewee dianggap sebagai cubaan untuk menggugat, mencemar perpaduan dan keamanan negara, malah boleh menyebabkan negara kucar-kacir jadinya," katanya pada majlis rumah terbuka persatuan itu di Dataran Karyawan FINAS, Hulu Klang, malam tadi.

Selain salinan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, semalam, SENIMAN turut menyerahkan surat bantahan kepada Pegawai Khas Kanan, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Jamawi Ja'afar.

Beliau berkata, surat bantahan itu bagi memohon pihak kementerian mengambil tindakan tegas dengan menarik semula lesen syarikat produksi Namawee.

Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee, 33, yang kini berada di luar negara sebelum ini pernah mencetuskan kemarahan dengan mempersendakan lagu Negaraku.

Berita Harian X