Isnin, 8 Ogos 2016 | 5:53pm

Lisa Surihani jadi pembantu peribadi Yusry

LISA Surihani bersama Yusry dan anak mereka, Yahaira Leanne.
LISA Surihani bersama Yusry dan anak mereka, Yahaira Leanne.

KUALA LUMPUR: Daripada membiarkan masa berlalu selepas mengurus keperluan bayi tersayang, Lisa Surihani mengisi waktu dengan menjadi pembantu peribadi suami, Yusry Abdul Halim.

Sebelum terikat dengan komitmen lain apatah lagi kontrak bersama Astro Talent sudah diperbaharui, Lisa bijak mengisi masa dengan menguruskan kerjaya Yusry.

"Saya fokus 'menjaga' Yusry sebelum ada komitmen lain. Kebetulan Yusry dan KRU ada persembahan di Singapura. Jadi, sesekali menjadi pembantu peribadi kepada suami seronok juga," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka syarikat Global Station Sdn Bhd di sini, baru-baru ini.

Lisa bijak membahagikan masa antara mengasuh permata hati, Yahaira Leanne yang kini berusia 10 bulan dan keperluan harian Yusry.

Sudah pasti, sebagai isteri, dia mahukan yang terbaik untuk Yusry biarpun 'tugas' baharunya itu ibarat bidan terjun.

Mengenai kerjaya seninya, Lisa berkata, setakat ini, belum ada kata putus berhubung projek terbaharu.

Berkongsi kisah percutiannya di London, baru-baru ini, Lisa gembira dapat bersiar-siar dan berbasikal di kawasan tasik selain menikmati panorama indah kawasan berbukit di Cumbria.

"Kami berada di London selama 17 hari. Ia sangat menyeronokkan. Berpeluang melakukan aktiviti santai bersama keluarga cukup indah," katanya.

Berita Harian X