X
Selasa, 23 Ogos 2016 | 1:41pm

Teka-teki status pertunangan Lindsay Lohan

LINDSAY Lohan
LINDSAY Lohan

LOS ANGELES: Pertengkaran antara pelakon, Lindsay Lohan dan tunangnya, Egor Tarabasov yang sering dirakam media menimbulkan perasaan kurang senang bapanya, terutama apabila melihat bintang Mean Girls itu sering dikasari.

Biarpun mempunyai rentetan sejarah buruk membabitkan tunangnya, Lohan masih setia menyarung cincin pertunangan mereka. Lohan, baru-baru ini memuat naik foto cincin zamrud yang tersarung di jari manis kanannya menerusi akaun Instagram, sekali gus menimbulkan pelbagai tanda tanya mengenai status pertunangan mereka.

"Saya tidak pernah menanggalkannya, biarpun selepas apa yang berlaku. Saya berusaha memastikan impian kami menjadi kenyataan, tetapi kini, saya tidak pasti apakah saya mampu melakukannya.

"Kami merancang untuk berkahwin di Tasik Como, Itali, pada Mei depan. Saya mahu berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata, malah pernah berbincang dengan Tarabasov mengenai perancangan mempunyai keluarga," katanya.

Lohan pada pertengahan Julai lalu mendedahkan Tarabasov berlaku curang apabila didakwa meniduri pelacur. Lohan juga mendakwa tunangannya itu cuba membunuhnya. Kediaman mereka di London pernah diserbu polis apabila pasangan itu teruk bertengkar.

Selain menyarung cincin di jari kanannya, Lohan turut memakai sebentuk cincin lain di jari kirinya bersama kapsyen tiga simbol hati yang menjadi teka-teki kepada peminatnya. Lohan bagaimanapun, tidak menyebut nama tunangannya dalam foto terbabit.

Lohan dan Egor mula menjalin hubungan cinta, pada tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk bertunang pada April slalu. Hubungan mereka sentiasa tegang apabila dilihat sering bertelagah dan mengasari antara satu sama lain di tempat awam.

Berita Harian X