X
Isnin, 26 September 2016 | 11:42am

Fara Fauzana, FBI dan AG kembali ke konti esok

PETALING JAYA: Pendengar yang rindu suara dan celoteh nakal bekas penyampai stesen radio Hot FM iaitu Faizal Ismail (FBI) dan Fara Fauzana pasti tidak melepaskan peluang mengikuti siaran Kool FM, pagi esok.

Kembali bergabung bersama AG, Fara dan FBI akan mengembalikan nostalgia tiga tahun lalu ketika bertugas di konti Hot FM mengendalikan segmen pagi, Hot FM AM Krew.

Kali ini, mereka akan bersiaran secara langsung melalui segmen Pagi Hari di Kool FM (PHD Kool FM), ternyata usaha ini sebenarnya tidak semudah yang dijangkakan.

Ketiga-tiga mereka dibatasi dengan jadual padat. Namun, Kool FM selalu memikirkan pengisian yang mempunyai eleman kejutan dan segar. Sehubungan itu, pengisian ini direalisasikan buat seluruh pendengar radio terutama peminat Kool FM.

Kehadiran Fara, FBI dan AG di Kool FM turut membuka sejarah 10 tahun lalu di Hot FM yang mensasarkan pendengar di bawah umur 35 tahun. Manakala Kool FM yang mempunyai sasaran pendengar menjangkau 40 tahun akan membuktikan sisi kematangan dan kedewasaan mereka.

Kerinduan pendengar setia Fara, FBI dan AG pasti akan terubat dengan usikan nakal antara satu sama lain mulai 7 pagi esok.

Untuk rekod, Faizal Ismail meninggalkan Hot FM pada Oktober 2013.

Fara pula melepaskan tugas di konti Hot FM pada Februari lalu demi memfokuskan kerjaya peribadi dalam bidang pengacaraan, produksi dan aktiviti kemasyarakatan.

Berita Harian X