Rabu, 2 November 2016 | 1:43pm

Selaput mata kiri Saharul Ridzwan terkoyak

PELAKON, Saharul Ridzwan pada Sidang Media Anugerah Melodi di Theatrette Balai Berita Bangsar. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Saharul Ridzwan pada Sidang Media Anugerah Melodi di Theatrette Balai Berita Bangsar. - Foto Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Gara-gara memakai kanta lekap lebih 12 jam, selaput mata kiri pelakon Saharul Ridzwan terkoyak, Sabtu lalu.

Saharul atau nama penuhnya Mohd Saharul Ridzwan Hashim, 27, berkata ekoran insiden berkenaan matanya turut mengalami luka kecil dan kini terpaksa menjalani rawatan selama seminggu.

"Biasalah lelaki, kadang-kadang tidak peka dengan perkara kecil seperti ini. Baru-baru ini, saya menjalani penggambaran hingga ke malam dan pada masa sama memakai kanta lekap melebihi 12 jam.

"Apabila mahu membukanya, ia agak sukar sehingga menimbulkan rasa pedih dan gatal-gatal.

"Tak sangka pula apabila mendapat rawatan doktor, rupa-rupanya selaput mata saya terkoyak dan ada luka kecil di situ," katanya ketika ditemui di majlis pelancaran Estetika Medispa Shah Alam petang semalam.

Tambah Saharul, beliau turut dimarahi doktor gara-gara tidak menjaga matanya kerana penggunaan kanta lekap melebihi 12 jam boleh merosakkan mata.

Kata Saharul lagi, insiden itu bukanlah julung kali dialaminya kerana beliau pernah melalui masalah serupa, lima tahun lalu, pada bahagian mata yang sama.

"Buat masa ini, doktor memberikan ubat kebas yang perlu dititik pada mata setiap enam jam. Apapun, mujurlah ia tidak mengganggu jadual penggambaran saya," ujarnya.

Berita Harian X